Lebuhraya KBKK: 'Jangan lambat lagi, kami dah tak sanggup tunggu'

KOTA BHARU – Pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) yang sudah lama dinantikan penduduk Kelantan kini mencatat 80 peratus kemajuan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
Namun, pengguna lebuh raya dan penduduk sekitar terus meluahkan kebimbangan terhadap kelewatan yang berulang kali berlaku.
Seorang pekerja kontrak, Siti Zulaika Awang, 25, berkata, kelewatan pembinaan ini bukan sahaja menyusahkan penduduk, tetapi juga menjejaskan ekonomi tempatan.
“Kami dah lama tunggu lebuh raya ini siap dan mahukan jalan yang lebih selesa serta selamat.
“Setiap kali cuti persekolahan, saya terpaksa mengharungi kesesakan teruk, terutama musim perayaan, nak keluar beli-belah di bandar pun susah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, ramai pengguna bosan dengan alasan yang diberikan setiap kali projek ini tertangguh.
“Kerajaan perlu lebih serius dalam memastikan pembinaan disiapkan mengikut jadual tanpa ada lagi kelewatan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kuala Krai dan juga pesara, Mohd Noor Jusoh, 53, pula melahirkan rasa kecewa kerana kelewatan ini turut memberi kesan kepada keselamatan pengguna jalan raya.

“Musim hujan dan banjir, jalan jadi lebih berbahaya sebab ada bahagian yang berlubang, ada pula yang selalu berlaku kemalangan kerana jalan sesak.
“Kalau lebuh raya ini siap lebih awal, semua masalah ini boleh dielakkan,” katanya.
Menurutnya, penduduk sudah tidak sanggup lagi menunggu kerana mereka yang paling terkesan akibat kelewatan ini.
Bukan sahaja perjalanan ke Kota Bharu masih mengambil masa yang lama, malah banyak perniagaan kecil turut terjejas akibat kesukaran logistik.
Bagi Pembantu Tadbir Kewangan, Syaza Syamimi Mohammad Sayuti, 27, kelewatan lebuh raya ini memberi kesan kepada kos penghantaran dan kecekapan perniagaan.
“Bayangkan kalau perjalanan yang sepatutnya dua jam jadi empat atau lima jam sebab jalan sesak dan banyak kerja pembinaan tergendala.
“Minyak banyak habis, barang lambat sampai dan kami yang cari makan guna jalan ini memang terkesan,” katanya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini memaklumkan bahawa baki 20 peratus projek masih dalam pelaksanaan oleh kontraktor baharu.
Projek KBKK mengalami beberapa kelewatan sejak perancangannya bermula pada akhir 1980-an.
Pada asalnya, projek ini dirancang sebagai lebuh raya Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) namun, selepas perubahan pentadbiran negeri pada tahun 1990, projek ini digugurkan.
Projek kemudian dihidupkan semula dalam RMK9, tetapi sekali lagi ditangguhkan dan akhirnya, kerajaan negeri Kelantan mengambil inisiatif untuk memulakan pembinaan pada tahun 2012.
Walaupun begitu, pelbagai isu seperti kekangan kewangan dan pertukaran kontraktor menyebabkan projek lama tertangguh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!