PIBG gesa pantau ketat peniaga luar sekolah, elak jual makanan berisiko

Laporan Sinar Harian mengenai kanak-kanak tercekik gula-gula kenyal meninggal dunia. Gambar kecil: Noor Hariri
Laporan Sinar Harian mengenai kanak-kanak tercekik gula-gula kenyal meninggal dunia. Gambar kecil: Noor Hariri
A
A
A

PASIR MAS - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menggesa pihak berkuasa melakukan pemantauan kerap bagi memastikan peniaga di luar pagar sekolah tidak menjual makanan tidak sihat termasuk gula-gula getah yang berisiko bahaya kepada pelajar.

Pengerusi PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Meranti, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, walaupun pihak sekolah sudah melarang jualan makanan tidak berkhasiat di dalam kantin, namun penjualan di luar kawasan sekolah dan berdekatan masih berlaku.

“Kami bimbang produk seperti gula-gula getah ini boleh membahayakan pelajar, terutama yang masih bersekolah rendah kerana boleh terlekat dan tercekik.

“Pihak sekolah menguatkuasakan peraturan agar makanan tidak sihat tidak dijual di dalam kantin dan yang dijual oleh peniaga di luar pagar, jika masih di atas tanah sekolah juga satu kesalahan,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Menurut Noor Hariri, pihak PIBG juga akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa agar mereka lebih berperanan dalam mengawal perbelanjaan anak-anak bagi mengelakkan pembelian makanan berisiko.

“Kami akan mengingatkan ibu bapa dalam mesyuarat PIBG nanti supaya memberikan wang belanja yang mencukupi untuk makanan di kantin sahaja.

“Jika mereka tidak ada lebihan wang, kemungkinan mereka tidak akan membeli di luar sekolah,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa peniaga di luar pagar yang berniaga di atas tanah sekolah, boleh dihalang.

“Sekolah tidak pernah memberi kebenaran kepada peniaga luar dan jika melibatkan keselamatan pelajar, tiada kompromi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Khamis lalu, murid Tahun Empat, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, meninggal dunia selepas tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan menegaskan penjualan produk gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata dilarang di semua platform dalam talian dan pasaran domestik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!