RUU PSB: Antara kemajuan dan risiko peminggiran

Laporan Sinar Harian berhubung RUU Pembangunan Semula Bandar.
Laporan Sinar Harian berhubung RUU Pembangunan Semula Bandar.
A
A
A

Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dicadangkan kerajaan dan bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai depan kini menjadi polemik.

RUU itu bertujuan mengubah landskap bandar dengan membangunkan semula kawasan usang serta tidak teratur. Namun, ada pihak mendakwa kesan jangka panjang terhadap pemilikan hartanah serta sosioekonomi masyarakat, khususnya orang Melayu sehingga mencetuskan kebimbangan.

Daripada satu sudut, RUU ini dilihat sebagai langkah positif untuk memperbaharui kawasan yang mengalami kemerosotan fizikal dan ekonomi. Ia mampu merancakkan pertumbuhan bandar serta menyediakan perumahan lebih selesa.

Bagaimanapun, terdapat beberapa isu utama perlu diperhalusi sebelum diluluskan. Antara kebimbangan utama ialah pemilikan tanah rakyat terutama dalam kalangan masyarakat di bandar.

Kawasan seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur dan kampung-kampung tradisi lain berpotensi terkesan jika pemindahan dilakukan tanpa pampasan adil atau jaminan hak untuk kembali menetap.

Selain itu, ada kebimbangan pembaharuan bandar ini lebih menguntungkan pemaju besar berbanding penduduk asal, sekali gus meningkatkan risiko peminggiran sosioekonomi.

Implikasi ekonomi juga perlu diteliti kerana dibimbangi ia lebih cenderung kepada pembangunan hartanah mewah dan komersial. Ini akan meningkatkan kos sara hidup serta mendorong golongan berpendapatan rendah berpindah ke pinggir bandar. Ini bukan sahaja mengurangkan akses mereka kepada peluang pekerjaan, malah membesarkan lagi jurang ekonomi antara kaum.

Justeru, beberapa langkah wajar dipertimbangkan sebelum RUU ini dikuatkuasakan. Antaranya kerajaan perlu memastikan mekanisme pampasan adil kepada penduduk terlibat, termasuk hak untuk kembali menetap di kawasan asal selepas pembangunan.

Selain itu, kuota perumahan mampu milik perlu diperkenalkan bagi memastikan keseimbangan pemilikan hartanah dalam kalangan bumiputera.

Artikel Berkaitan:

Soal ketelusan dalam pelaksanaan RUU ini juga amat penting dengan badan bebas perlu ditubuhkan bagi memantau proses pembaharuan bandar, memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukan sekadar menguntungkan pihak berkepentingan tertentu.

Penyertaan penduduk dalam keputusan pembangunan juga perlu diutamakan bagi memastikan tiada unsur paksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!