Jenazah ADUN Ayer Kuning selamat dikebumikan

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia di sini pada Ahad.
Jenazah wakil rakyat berusia 59 tahun itu selesai dikebumikan pada jam 11 pagi dengan kehadiran lebih 300 orang dalam kalangan ahli keluarga, rakan politik dan kenalan bagi memberi penghormatan terakhir.
Terdahulu jenazah dibawa ke Masjid An-Nur Desa Seri Ampang, dekat sini untuk dimandi dan disolatkan.
Kira-kira 1,000 jemaah menyertai solat jenazah yang diimamkan Ustaz Azmuley Abdul Aziz.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia untuk disemadikan.
Antara yang hadir memberikan penghormatan di tanah perkuburan berkenaan, Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Hang Tuah Din; Pengerusi Parti Bersatu Negeri Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.
Turut hadir beberapa bekas pemain Perak termasuklah Azizol Abu Hanifah, Ahmad Shahrul Azhar, Syamsul Saad dan ramai lagi.
Semalam, Ishsam, 59, dilaporkan rebah tidak sedarkan diri selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.
Dalam kejadian sekitar jam 5.20 petang, Allahyarham sempat bersalaman dengan pemain lain di dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
Beliau telah dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang pada jam 5.40 petang setelah bantuan kecemasan diberikan di tepi padang dan Allahyarham disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan, Hospital Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

