Speaker DUN Perak akan maklum SPR kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning

Laporan Sinar Harian. Foto kanan: Mohammad Zahir
Laporan Sinar Harian. Foto kanan: Mohammad Zahir
A
A
A

IPOH - Kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selasa ini.

Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, makluman rasmi itu bagi tindakan lanjut SPR termasuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

"Insya-ALLAH minggu depan kita akan maklumkan secara rasmi kepada SPR supaya proses yang sepatutnya mengikut Undang-undang tubuh (Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak) dan Perlembagaan Negara dapat dilakukan.

"Penyiaran notis (kekosongan) ini kita akan lakukan seawalnya Selasa depan," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di kediaman keluarga di Desa Sri Ampang di sini pada Ahad.

Berdasarkan Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Speaker DUN akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan pilihan raya kecil.

PRK mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut.

Ishsam, 59, disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang jam 6.28 petang pada Sabtu akibat serangan jantung.

Beliau sebelum itu dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!