Gula-gula kenyal dijual secara terbuka, orang ramai mahu pihak berkuasa pantau

ALOR SETAR - Gula-gula kenyal pelbagai bentuk termasuk berbentuk mata atau lebih dikenali ‘gummy eyeball’ dijual secara terbuka di sebuah pasar raya dekat sini.
Tinjauan mendapati terdapat sebuah kiosk menjual pelbagai manisan dan gula-gula seumpama yang dijual mengikut timbangan kepada pengguna.

Gerai jualan yang menawarkan puluhan aneka gula-gula itu sudah tentu menarik perhatian kanak-kanak untuk mengunjungi dan merasai kemanisan produk ditawarkan tanpa mengetahui risiko yang mereka hadapi.
Sementara itu, tinjauan di dua kedai runcit yang terletak kurang dua kilometer (km) dari sebuah sekolah rendah dan menengah dekat sini mendapati gula-gula kenyal tersebut tidak dijual di premis tersebut.

Pekerja swasta, Effa Natasha Rosli, 27, berkata, dia mengetahui mengenai kewujudan gula-gula kenyal berbentuk mata itu selepas tular di media sosial namun tidak pernah membeli produk tersebut.
“Saya pernah nampak dijual di pasar raya tetapi saya tegah anak saudara beli sebab bimbang status halalnya kerana ada rakan maklum ia dibawa dari China. Lagipun saya risau tercekik sebab saiznya agak besar.
“Ada jual macam-macam jenis gula-gula kenyal termasuk bentuk mata, ada berbentuk buah-buahan juga dan dijual secara timbang. Warna dan bentuknya memang menarik perhatian kanak-kanak untuk mencuba,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.
Effa Natasha berkata, harganya bergantung kepada permintaan pengguna, yang mana dijual pada harga melebihi RM2 bagi 100 gram.
“Saya sedih apabila mengetahui ada kanak-kanak maut disebabkan makan gula-gula tersebut, jadi saya mohon pihak berkuasa pantau penjualan produk tersebut sebab ia berisiko,” katanya.

Hasliza Saad, 50, senada agar penjualan gula-gula kenyal berkenaan diharamkan setelah terbukti ia boleh menyebabkan kematian.
“Kaji semula semua jenis gula-gula di pasaran khususnya yang berisiko mendatangkan bahaya serta uar-uarkan kepada orang ramai untuk pengetahuan.
“Sebarkan maklumat kepada anak-anak agar mereka peka dengan risiko termasuk kes kematian berkaitan produk tersebut,” kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia 25 hingga 15 tahun itu.
Hasliza berkata, anak-anak yang meningkat remaja juga perlu dibekalkan maklumat secukupnya bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Saya sendiri larang anak-anak mencuba makanan seumpama walaupun tular di media sosial. Saya sentiasa berkongsi maklumat sebagai langkah berjaga-jaga dalam kumpulan WhatsApp keluarga agar peka, khususnya yang mendatangkan risiko,” ujarnya.
Di SELANGOR, tinjauan di sebuah kedai runcit di Kampung Jawa, Klang mendapati masih menjual gula-gula kenyal meskipun dilaporkan ada kanak-kanak yang meninggal dunia akibat tercekik makanan ringan itu pada Selasa.
Peniaga terbabit yang enggan dikenali berkata, dia tidak mengetahui kejadian berkenaan dan masih menjual gula-gula tersebut, namun mengakui bahawa saiz gula-gula itu boleh mengundang risiko jika tidak dimakan dengan berhati-hati.
Di JOHOR, hasil tinjauan di beberapa premis perniagaan di sekitar bandar Kluang mendapati gula-gula kenyal berbentuk mata itu tidak dijual di kedai-kedai.Berdasarkan perbualan dengan pekerja kedai mendapati gula-gula terbabit tidak pernah dijual di premis mereka selain ada juga yang memberitahu kemungkinan sudah kehabisan stok.

Seorang bapa, Adnan Ibrahim, 58, berkata, walaupun produk terbabit tidak mudah didapati di kedai ketika ini namun ia masih boleh dibeli secara dalam talian menerusi pelbagai platform.
“Sebelum ini, saya ada tengok gula-gula kenyal itu dijual di kedai. Tetapi di kantin sekolah memang tidak dijual sebab ia makanan ringan.
"Saya juga ada lihat gula-gula itu di platform dalam talian, pelbagai komen diberikan selain harganya cukup murah. Cuma tidak pasti mengenai keselamatannya.
"Saya memang larang anak-anak makan gula-gula kenyal kerana warnanya dan khuatir bahan-bahan yang digunakan tidak selamat dimakan kerana difahamkan ia produk dari China," katanya.
Di PAHANG, hanya segelintir kedai runcit di Kuantan masih menjual gula-gula kenyal berbentuk bola, namun kebanyakan peniaga memilih untuk menghentikan penjualannya atas faktor keselamatan.
Seorang peniaga mahu dikenali, Ahmad Ismail, 44, mengakui pernah menjual gula-gula kenyal, tetapi telah menyimpan produk tersebut susulan kes seorang kanak-kanak yang dilaporkan meninggal dunia akibat tercekik makanan ringan itu.
Menurutnya, gula-gula berbentuk bola yang mempunyai pelbagai rasa itu sebelum ini, dijual pada harga 50 sen sebiji.
"Saya tidak pernah terima aduan daripada pelanggan, tapi bila berlaku kes macam ini, saya sudah simpan bagi elak kanak-kanak membeli.
"Saya juga akur kalau dilarang jual gula-gula ini,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Pekerja kedai runcit yang mahu dikenali sebagai Farah, 24, pula memaklumkan tidak pernah menjual gula-gula kenyal yang bersaiz besar.
“Saya hanya ambil gula-gula biasa sahaja, itu pun yang bersaiz kecil dan mudah ditelan.
"Gula-gula besar memang saya tidak pernah ambil, sebab memang bimbang keselamatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

