Mahkamah khas fokus jenayah berat, bukti SOSMA relevan - Pakar

Laporan Sinar Harian berkaitan SOSMA. Gambar kanan: Ahmad Marthada
Laporan Sinar Harian berkaitan SOSMA. Gambar kanan: Ahmad Marthada
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan mahkamah khas bagi mengendalikan kes-kes bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) diyakini mampu menambah baik perlaksanaan akta berkenaan yang masih perlu dikekalkan di negara ini.

Pakar undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, cadangan tersebut langkah terbaik kerana akan mempercepatkan proses pendakwaan dalam masa sama mengurangkan tekanan kepada keluarga orang kena tahan (OKT).

Menurutnya, dengan mahkamah khas juga membolehkan fokus diberikan bagi pendakwaan dan pembuktian jenayah-jenayah berat, sekali gus menunjukkan SOSMA masih relevan.

“Jadi secara tak langsung penubuhan mahkamah khas oleh mengurangkan kritikan-kritikan bahawa akta ini perlu dihapus atau dikaji semula.

“Akta ini sangat-sangat penting dalam keadaan di mana rakyat memerlukan kepada keselamatan dan ketenteraman awam dijaga pada tahap terbaik.

“Kita tahu sebelum ini kes bawah SOSMA dibawa ke mahkamah biasa dan kadang kala ia mengambil masa yang lama sebelum dibicarakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan untuk menubuhkan mahkamah khas berkenaan.

Langkah itu katanya, akan mengelakkan mereka yang ditahan SOSMA daripada menunggu terlalu lama serta menangani isu berkaitan jaminan.

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada menegaskan, SOSMA penting sebagai usaha mengekang keganasan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan keamanan negara.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, ia seperti mana yang dilaksanakan di negara-negara, bahkan terdapat sebahagiannya yang lebih teruk apabila pelaku hanya ditangkap tanpa sebarang proses perbicaraan.

“Akta SOSMA ini memang sangat perlu dalam keadaan di mana keselamatan negara sering kali tergugat dengan pelbagai ancaman bukan sahaja ancaman dari dalam bahkan juga ancaman dari luar.

“Kita juga melihat dalam konteks, misalnya ada ejen-ejen dalam negara kita yang bertindak bagi negara-negara luar seperti yang pernah berlaku sebelum ini rakyat kita yang bersekongkol ejen Israel,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!