Kerajaan akan tubuhkan pusat Education Malaysia di Arab Saudi

Zambry (kiri) menerima kunjungan Osamah di Bangunan Parlimen pada Rabu.
Zambry (kiri) menerima kunjungan Osamah di Bangunan Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menubuhkan pejabat Education Malaysia (EM) di Arab Saudi sebagai pusat penyelarasan pendidikan antara kedua-dua negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, cadangan itu merupakan antara perkara yang dibangkitkan ketika pertemuan dan perbincangan beliau bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhel R Al-Ahmadi pada Rabu.

Katanya, penubuhan berkenaan bertujuan menyelaras kerjasama pendidikan termasuk program akademik, biasiswa, penghantaran serta kebajikan pelajar Malaysia dan Arab Saudi.

"EM ini juga membabitkan urusan berkaitan aspek kebajikan pelajar kita di Arab Saudi dan begitu juga pelajar negara berkenaan yang berada di Malaysia. Jadi, kita laksanakan hubungan dua hala.

"Mereka juga akan membantu menangani sebarang isu berbangkit berkaitan pendidikan. Kedudukan EM ini sangat penting. Biasanya kita letakkan pusat sebegini di bawah kelolaan pihak kedutaan kita,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini.

Zambry memaklumkan, pihak Arab Saudi turut mengalu-alukan cadangan Malaysia dan beliau akan menghantar nota verbal kepada kerajaan Arab Saudi.

Beliau menjelaskan, penyelarasan program pendidikan dua hala yang akan dilakukan EM turut merangkumi keseluruhan aspek pendidikan antara kedua-dua negara dan tidak terhad kepada pendidikan tinggi sahaja.

Ujar beliau, sebelum ini Malaysia mempunyai Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan ASEAN, tetapi tiada pusat penyelarasan pendidikan rasmi di Arab Saudi.

“Jadi apabila kita mempunyai EM di Arab Saudi ini, ia akan memanfaatkan ribuan pelajar Arab Saudi yang belajar di negara kita dan begitu juga pelajar kita. Terdapat ribuan pelajar kita yang sedang belajar di Arab Saudi,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan akan menubuhkan pejabat Education Malaysia di Arab Saudi untuk penyelarasan pendidikan antara kedua-dua negara
  • Cadangan penubuhan telah dibangkitkan dalam pertemuan antara Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia
  • Tujuan penubuhan adalah untuk menyelaras kerjasama pendidikan, program akademik, biasiswa, penghantaran dan kebajikan pelajar Malaysia dan Arab Saudi
  • Education Malaysia akan membantu menangani isu berbangkit berkaitan pendidikan dan juga akan melaksanakan hubungan dua hala
  • Penubuhan EM di Arab Saudi akan manfaatkan ribuan pelajar dari kedua negara yang belajar di negara masing-masing

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!