Kerajaan setuju semak SOSMA

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Jumaat. Foto Bernama
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk meneliti dan menyemak Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menjelaskan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan tampil di Parlimen memberi keterangan berhubung perkara tersebut.

"Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya SOSMA disemak dan diteliti," katanya menerusi sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, secara prinsipnya terdapat beberapa perkara yang telah dibincangkan dan dipersetujui berkaitan dengan penambahbaikan SOSMA.

"Nanti Menteri Dalam Negeri akan memperincikannya," ujar Fahmi.

Sementara itu, ditanya punca Akta SOSMA disemak beliau menjelaskan, ia berkata apa yang berlaku baru-baru ini.

"Pada masa sama kerajaan memang dari semasa ke semasa meneliti undang-undang sekiranya perlu atau boleh ditambah baik, maka usaha-usaha ini akan diteruskan," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, menuntut kerajaan segera mengkaji semula berkenaan kerana disifatkan sebagai peruntukan yang zalim dan menindas.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, ahli keluarga kepada 32 orang yang ditahan di bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh.

Mereka menuntut kerajaan dan pihak penjara membenarkan lawatan serta memeriksa keadaan tahanan, yang dikatakan turut memulakan mogok lapar di dalam penjara.

Menerusi surat aduan kepada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), kesemua individu itu ditahan polis antara Mei hingga September tahun lalu kerana disyaki terlibat dengan kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng TR.

Kesemua didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan SOSMA serta tidak ditawarkan jaminan.

Sementara itu, mengulas mengenai pendirian kerajaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), Fahmi berkata, terdapat keperluan untuk kerajaan meminda akta tersebut memandangkan terdapat percanggahan berlaku.

"Pada waktu ini agensi ataupun badan penguatkuasaan perlu bersikap profesional berlandaskan undang-undang sedia ada.

"Selagi mana belum lagi dipinda, maka akta sedia ada masih terpakai," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!