Kajian semula SOSMA ambil kira hak asasi, kekalkan keselamatan negara

GEORGE TOWN - Kajian semula terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan mengambil kira hak asasi manusia selain mengekalkan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata, kajian semula itu akan meneliti beberapa seksyen tertentu, termasuk Seksyen 13 yang berkaitan dengan kesalahan boleh jamin dan tidak boleh jamin.
“Kita akan mengimbangi tanggungjawab untuk mengekalkan keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan menghormati hak asasi individu.
"Sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula beberapa seksyen dan aspek SOSMA serta bagaimana ia boleh digunakan dalam kes-kes tertentu.
“Sebagai contoh, ia boleh digunakan dalam kes jenayah terancang atau kes gengsterisme ekstrem,” katanya selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di Persiaran Karpal Singh di sini pada Sabtu.

Beliau turut menjelaskan bahawa kajian itu melibatkan kes-kes keganasan dan insiden yang mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam.
“SOSMA adalah undang-undang yang sesuai digunakan dalam situasi sedemikian kerana kes-kes ini bukan jenayah biasa, ia melibatkan jenayah sadis, misalnya berkaitan dengan aktiviti keganasan yang mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Jadi, justifikasi penggunaan akta ini tetap ada, tetapi Kabinet percaya bahawa terdapat beberapa seksyen yang perlu dikaji semula,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kajian semula ini tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa, walaupun ia dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
“Selama dua tahun saya berada di kementerian ini, kami telah menjalankan sesi libat urus secara berterusan mengenai kajian semula ini. Pelbagai libat urus dan perbincangan telah diadakan dengan penglibatan pakar serta pihak berkepentingan.
"Maklum balas daripada pelbagai pihak juga telah dikumpulkan dalam proses kajian ini. Saya akan membentangkan hala tuju kerajaan (kenyataan menteri) dalam kajian semula SOSMA di Parlimen minggu depan,” tambahnya.
Sebelum ini, jurucakap kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Kabinet bersetuju agar SOSMA diteliti dan disemak.
Fahmi berkata, perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat susulan pengumuman pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!