Kilang e-waste seludup masuk peluru, kelongsong sejak sebulan lepas

Azmi
Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peluru dan kelongsong dianggar seberat 50 tan yang ditemukan di sebuah kilang sampah elektronik (e-waste) haram di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, dipercayai dibawa masuk ke negara ini sejak sebulan lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, Peluru dan kelongsong itu telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti negara asal barangan ini.

“Memandangkan ia dibawa masuk melalui pengisytiharan palsu, perkara ini menjadi cabaran kepada kami untuk mengenal pasti dari mana sebenarnya sumber peluru ini dibawa masuk,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati peluru dan kelongsong peluru tersebut dibawa masuk kira-kira sebulan lalu bersama dengan bahan e-waste.

Kata Azmi, pihaknya turut menahan empat individu terdiri daripada seorang wanita tempatan, seorang lelaki warga China dan dua lelaki warga Kemboja.

“Siasatan kami mendapati wanita tempatan berusia 24 tahun itu disyaki berperanan sebagai penyelia di kilang terbabit manakala tiga lelaki warga asing berusia antara 28 hingga 34 tahun adalah pekerja.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," ujarnya.

Dalam sidang akhbar pada Khamis, Azmi dilaporkan berkata, kilang kitar semula itu didaftarkan di bawah nama warga tempatan tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China.

Artikel Berkaitan:

Sisa berbahaya ini diproses menjadi jongkong besi, timah, dan tembaga sebelum dieksport ke luar negara.

Sinar Harian pada 15 Februari melaporkan serbuan polis di sebuah kilang haram e-waste itu oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Bermula Jun tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan banyak premis e-waste di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri yang dipercayai beroperasi secara haram tanpa mendapat kelulusan JAS.

Ada di antaranya berselindung di sebalik operasi mengumpul besi lusuh, namun dalam masa sama mengaut keuntungan dengan mengekstrak, melerai dan melupus e-waste termasuk mempromosikannya di media sosial secara terbuka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!