Anak jadi pengkritik, sebelum bapa serius jual ayam goreng

Alang (kiri) menunjukkan ayam goreng di sebuah gerai di Tanjung Lumpur. Foto Sinar Harian.
Alang (kiri) menunjukkan ayam goreng di sebuah gerai di Tanjung Lumpur. Foto Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN - Bermula dengan 10 kali percubaan resipi sebelum mencapai rasa yang diinginkan, seorang bapa kepada tiga anak kini berjaya mengembangkan perniagaan ayam gorengnya daripada sebuah gerai di bazar Ramadan kepada rancangan francais dalam masa kurang setahun.

Pengusaha MUZ Fried Chicken, Mohammad Nor Dzulkarnain Mansur, 34, berkata, bermula menjual ayam goreng dengan jenama sendiri selepas berhenti bekerja susulan pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Alang memberitahu, langkah itu dibuat bagi mencari sumber pendapatan baharu untuk menyara kehidupan keluarga dengan meminta bantuan ibunya untuk merumuskan adunan perapan ayam yang sesuai.

"Hendak jual ayam goreng ini bukan perkara mudah kerana rasa adalah faktor utama yang menentukan kejayaan.

"Berbekalkan aduan daripada ibu, saya mencuba, sehingga 10 kali baru dapat rasa yang betul-betul sempurna untuk dijual kepada orang ramai," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tanjung Lumpur, pada Khamis.

Alang sedang mengoreng ayam yang sudah diadun dengan tepung aduan di gerainya di Tanjung Lumpur. Foto Sinar Harian.
Alang sedang mengoreng ayam yang sudah diadun dengan tepung aduan di gerainya di Tanjung Lumpur. Foto Sinar Harian.

Lebih menarik, menurut Alang, anak-anaknya yang merupakan peminat setia ayam goreng menjadi pengkritik utama dalam proses mencari resipi terbaik.

Dia turut mengakui beberapa kali menggoreng ayam pada suhu berbeza bagi memastikan hasilnya sempurna.

"Kalau tak sedap, mereka terus cakap tak jadi. Akhirnya, dua hari sebelum mula berniaga, saya dapat resipi yang betul-betul kena dengan selera.

Artikel Berkaitan:

"Resipi itu saya gunakan sehingga sekarang, dan alhamdulillah, ternyata ia mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan," ujarnya.

Bercerita lanjut, Alang berkata, pada awal penglibatannya dalam perniagaan ini, dia hanya mampu menjual 30 ketul ayam sehari di bazar Ramadan, dua tahun lalu.

"Namun, dengan strategi pemasaran yang betul, termasuk kolaborasi dengan pempengaruh TikTok, jualan meningkat kepada 300 ketul sehari dalam tempoh lima hari.

"Bila jualan laris, selepas Aidilfitri, saya memperoleh tapak tetap di kawasan strategik hasil ihsan pemilik tanah di Tanjung Lumpur.

"Dari situ, perniagaan ayam goreng saya berkembang sehingga lima cawangan," katanya yang kini menutup aktiviti jualan buat sementara waktu.

Ditanya mengenai modal, Alang berkata, dengan wang RM3,000 yang diperoleh hasil pajakan emas isterinya untuk berniaga, dia kini mampu menjual lebih 40 ekor ayam sehari.

"Kami mengekalkan keistimewaan ayam goreng ini dengan menggunakan ayam segar dari pembekal Muslim, selain resipi turun-temurun ibu yang menjadikan perapan dan adunan tepung lebih enak," ujarnya.

Alang sedang mengoreng ayam yang sudah diadun dengan tepung aduan di gerainya di Tanjung Lumpur. Foto Sinar Harian.
Alang sedang mengoreng ayam yang sudah diadun dengan tepung aduan di gerainya di Tanjung Lumpur. Foto Sinar Harian.

Dalam pada itu, Alang turut merancang untuk mengembangkan perniagaannya melalui sistem francais menerusi penjualan ayam goreng.

"Saya mahu membantu rakan-rakan yang pernah berniaga bersama saya sebelum ini.

"Mereka juga pernah melalui kesusahan, jadi saya ingin membuka peluang kepada mereka," katanya.

Meskipun berdepan kenaikan harga bahan mentah seperti ayam dan tepung, Alang bagaimanapun tetap berusaha mengekalkan harga berpatutan bagi pelanggannya.

"Setiap set ayam goreng dijual pada harga RM10 untuk dua ketul, manakala set dengan sos keju atau Korea berharga RM12.

"Kualiti dan kuantiti perlu seimbang. Saya lebih rela mengekalkan harga agar pelanggan terus menikmati rasa asli ayam goreng kami," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!