Ibu bapa perlu bimbing anak menilai maklumat – Wan Azizah

KUANTAN – Ibu bapa dan penjaga digesa memainkan peranan lebih aktif dalam membimbing generasi muda memahami serta menilai maklumat dengan bijak bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan berita palsu.
Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kemajuan teknologi yang berkembang pesat, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), dan teknologi deepfake, membawa pelbagai cabaran yang perlu ditangani dengan bijak.
Menurutnya, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab mendidik anak-anak agar dapat membezakan antara maklumat yang benar dan palsu, terutama dalam era digital yang semakin kompleks.

“Kita semua perlu menyemak setiap maklumat yang diterima, bukan percaya bulat-bulat. Kita harus mendidik anak-anak supaya dapat membezakan yang baik dan buruk.
“Mereka juga perlu mahir mencari maklumat yang betul dan sahih serta mengenal pasti berita yang tidak benar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Peringatan Kebangsaan 2025 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang di sini pada Ahad.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang.
Hampir 1,500 peserta daripada 16 kontinjen seluruh Malaysia menyertai pelbagai aktiviti dan program yang berlangsung sejak Sabtu.
Pada majlis itu, tabung khas turut dilancarkan bagi membolehkan persatuan menyumbang kepada dana Hari Peringatan.
Wan Azizah turut menegaskan kepentingan memelihara nilai-nilai ketimuran dan adab susila sebagai rakyat Malaysia.
“Didiklah diri kita dan anak-anak untuk mengamalkan nilai-nilai ketimuran serta adab susila, sama ada dalam kehidupan harian mahupun di media sosial,” katanya.
Menyentuh mengenai Hari Peringatan Kebangsaan 2025, Wan Azizah berkata, setiap 22 Februari, ahli Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia akan menyambut Hari Peringatan Sedunia bagi memperingati gerakan yang diasaskan oleh Lord dan Lady Baden Powell.
Ujarnya, hari bersejarah ini telah disambut sejak tahun 1926, di mana ahli-ahli Pandu Puteri dari seluruh dunia berhubung serta meraikan persahabatan yang telah terjalin sekian lama.
“Hubungan persahabatan ini memberikan peluang untuk kita lebih cakna, belajar sesuatu yang baharu serta mengambil iktibar daripada isu-isu global yang berkaitan.
“Selain itu, ia juga membantu mengumpul dana bagi menyokong program dan aktiviti 10 juta ahli Pandu Puteri dan Pengakap Puteri di seluruh dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

