Sindiket seleweng LPG guna lori 'bonded' tumpas, 21 individu ditahan

Mohd Zuhairi menunjukkan tong gas yang disita di sebuah premis di Taman Meranti Permai, Puchong pada Rabu.
Mohd Zuhairi menunjukkan tong gas yang disita di sebuah premis di Taman Meranti Permai, Puchong pada Rabu.
A
A
A

PUCHONG - Taktik sindiket menggunakan tiga lori bonded untuk kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) di sebuah premis di Taman Meranti Permai, di sini terbongkar pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata lori terbabit digunakan oleh sindiket untuk memindahkan kandungan LPG daripada tong 14 kilogram (kg) bersubsidi kepada tong 50 kg tidak bersubsidi.

"Modus operandi sindiket itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa kerana aktiviti penyelewengan LPG dibuat di dalam lori, sebelum tong gas 50 kg itu dijual kepada industri dengan nilai RM190 setong atau lebih rendah," katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di sini pada Khamis.

Mohd Zuhairi berkata, serbuan pada jam 11 malam itu melibatkan 25 anggota penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas risikan selama sebulan.

"Seramai 21 individu termasuk pemilik premis berusia 30 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Semakan lanjut mendapati 17 daripada individu terbabit merupakan warga asing manakala tiga daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis disyaki menjalankan urus niaga membekalkan serta mengedar LPG.

"Berdasarkan rekod yang ditemui premis berkenaan merupakan pemborong LPG berlesen," katanya.

Menurutnya, KPDN Selangor menemui beberapa peralatan seperti hos penyambung dan tong ais dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan gas LPG.

Artikel Berkaitan:

“Hasil serbuan, sebanyak 4,000 tong LPG pelbagai jenama bersaiz 14 kg dan 50 kg serta 17 lori disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1.6 juta,” katanya.

Mohd Zuhairi berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mana-mana individu atau syarikat dinasihatkan agar mematuhi perundangan yang ditetapkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!