Sindiket arak tiruan gajikan pekerja Myanmar tumpas

ISKANDAR PUTERI – Polis menumpaskan sindiket pengeluaran arak tiruan dan menahan sembilan lelaki warga Myanmar dalam dua serbuan berasingan di Taman Industri Jaya dan Taman Tan Sri Yaacob, di sini pada 7 dan 9 Februari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 43 tahun dipercayai bekerja sebagai pemproses arak tiruan dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.
"Modus operandi sindiket ini adalah memproses arak tiruan sebelum menjualnya pada harga lebih rendah daripada pasaran, dengan menyasarkan pembeli dalam kalangan warga asing.
"Kami juga percaya sindiket ini telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan usaha mengesan dalang utama masih giat dijalankan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada Isnin.
Hasil serbuan tersebut, polis merampas pelbagai barangan termasuk 122 kotak mengandungi arak pelbagai jenama, 43 botol arak, sembilan tong berisi cecair dipercayai alkohol, 538 kotak berisi botol arak kosong, 37 kotak penutup botol arak, serta sembilan mesin pemprosesan alkohol.
Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 23 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
