ASEAN mampu jadi peneraju ekonomi kreatif

Khairul Firdaus (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat pada Simposium ASEAN-UK mengenai Pembangunan Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Khairul Firdaus (tengah) bergambar bersama tetamu kehormat pada Simposium ASEAN-UK mengenai Pembangunan Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN berupaya menjadi peneraju global dalam ekonomi kreatif sekiranya mempunyai dasar dan pelaburan yang tepat.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, keyakinan itu mengambil kira aset besar yang dimiliki iaitu warisan bersama dan kepelbagaian budaya ia boleh memberi impak yang lebih besar di seluruh dunia.

"Malaysia bersama Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina tergolong dalam 50 pengeksport global utama bagi barangan dan perkhidmatan kreatif serta merupakan salah satu daripada 10 pengeksport utama barangan kreatif.

"Di ASEAN, kreativiti dalam bidang seperti filem, animasi, muzik, reka bentuk, fesyen, kandungan digital, dan permainan video sedang mengubah industri, memperkasakan komuniti, dan mendorong pertumbuhan yang inklusif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan Simposium ASEAN-United Kingdom (UK) mengenai Pembangunan Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN di salah sebuah hotel di sini, pada Khamis.

Khairul Firdaus
Khairul Firdaus

Hadir sama, Ketua Setiausaha Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Abdul Rahman; Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Duta Besar UK ke ASEAN Sarah Tiffin.

Sementara itu, menyentuh mengenai acara berkenaan, Khairul Firdaus berkata, simposium itu berperanan sebagai platform utama untuk memajukan industri budaya dan kreatif di rantau ini sambil memupuk pembangunan lestari dalam Ekonomi Kreatif ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penganjuran program berkenaan bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja yang menggariskan visi bersama dan arah strategik untuk memajukan ekonomi kreatif di rantau ini.

"Simposium ini berfungsi sebagai platform untuk pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik antara UK dan ASEAN dalam ekonomi kreatif.

"Ia juga merupakan peluang yang baik untuk mengukuhkan perkongsian antara pihak berkepentingan dari UK dan ASEAN. Pengukuhan perkongsian ini adalah elemen yang paling penting dalam simposium ini," katanya.

Dalam pada itu, Roslan ketika sidang akhbar sama berkata, melalui simposium ini diharap lebih banyak mengenai industri kreatif dapat dipelajari daripada UK yang jauh ke depan dalam sektor tersebut.

"Kita perlu pergi lebih jauh lagi dalam mencipta nilai kreatif untuk meletakkan nilai ekonomi yang lebih tinggi.

"Kita sedia belajar lebih banyak lagi dengan UK yang mempunyai pengalaman luas dan berharap kita boleh bertukar idea dan bergerak ke platform selanjutnya," katanya.

Simposium bermula 21 dan 22 Februari ini menampilkan lebih 100 peserta dalam kalangan pemimpin dan pembuat dasar ASEAN akan membincangkan strategi untuk meningkatkan industri ekonomi kreatif di rantau berkenaan termasuk bidang pembangunan baru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!