Timbalan menteri jangan terkejut, kena selalu turun padang

MERAK JALANAN tersenyum bila seorang timbalan menteri dilaporkan terkejut dengan kos yang terpaksa ditanggung ibu bapa untuk membeli keperluan peralatan sekolah termasuk pakaian yang mencecah lebih RM200 untuk seorang anak.
Kata timbalan menteri itu, "Saya tengok kalau seorang ibu bapa nak membeli baju sepasang, tudung, beg, kasut dan stoking wajib RM200 lebih untuk set kelengkapan, belum masuk alat tulis."
Bak kata orang kampung Merak Jalanan, ada something wrong sebab diorang tak terkejut pun dengan harga itu. Memang dah jangka harga peralatan sekolah yang mahal. Bukan isu baharu.
Itu baru seorang anak, bukan macam rakan Merak Jalanan yang punya anak ramai. Bayangkan kos yang perlu dikeluarkan setiap tahun untuk membeli peralatan sekolah anak-anaknya.
Sebenarnya kos membeli peralatan sekolah lebih mahal daripada sangkaan timbalan menteri itu. Kebanyakan rakan Merak Jalanan terpaksa memperuntukkan kos lebih RM500 untuk seorang anak. Ramai terpaksa berkira-kira sebelum berbelanja. Nak tak nak terpaksalah berjimat. Mengeluh pun tak guna.
Bagaimanapun Merak Jalanan ucap terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) 'Back To School', Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 dan baucar kelengkapan sekolah berjumlah RM100 bagi setiap seorang. Kuranglah sedikit beban ibu bapa.
Bagi Merak Jalanan, penyataan timbalan menteri yang terkejut ini mungkin menjadi panggilan untuk kerajaan atau pihak yang berkenaan untuk menilai semula dasar atau usaha mengurangkan kos peralatan sekolah agar lebih mampu milik untuk semua golongan masyarakat, terutamanya bagi keluarga yang berpendapatan rendah.
Cuma pesan Merak Jalanan, kalau peralatan sekolah terutamanya baju seragam tahun lepas masih elok dan boleh digunakan, tak perlulah tukar baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
