'Mengapa tiba-tiba KWSP jual sebahagian besar saham MAHB' - Gerakan

Dominic Lau Hoe Chai.
Dominic Lau Hoe Chai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu penjualan dan pembelian semula saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan mengapa secara tiba-tiba KWSP menjual sebahagian besar saham MAHB sampai hanya tinggal 5.29 peratus pada Disember 2023.

"Adakah ini semata-mata untuk keuntungan jangka pendek? Atau ada faktor lain dan saya menyokong keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat transaksi ini.

"Selain daripada persoalan mengenai masa transaksi yang mencurigakan, sebarang keputusan besar yang melibatkan dana awam perlu dibuat secara telus dan bertanggungjawab, apatah lagi ini melibatkan wang hasil titik peluh 16.1 juta ahli KWSP," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sejak 2010 hingga 2023, KWSP mengekalkan pegangan saham dalam MAHB pada kadar antara 10 peratus hingga 15 peratus.

"Namun, secara tiba-tiba, pada Disember 2023, sebahagian besar saham itu dijual, sebelum membeli semula saham tersebut pada Mei 2024 dengan harga yang lagi tinggi iaitu RM11 sesaham, "then what's the point?" soalnya.

Menurutnya, meskipun KWSP tidak mengalami sebarang kerugian dalam urus niaga saham MAHB, tindakan menjual pada harga rendah terlebih dahulu dan membeli semula pada harga lebih tinggi telah menyebabkan KWSP kehilangan potensi keuntungan sebanyak RM500 juta.

"Oleh itu, siasatan perlu dijalankan bagi memastikan tiada unsur salah laku dalam urus niaga ini," ujarnya lagi.

Ketika mengulas jawapan bertulis Kementerian Kewangan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mengenai urus niaga saham KWSP dalam MAHB, Dominic menegaskan bahawa keputusan KWSP dibuat berdasarkan pertimbangan profesional.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menekankan agar tiada pihak yang mengambil kesempatan terhadap transaksi ini demi kepentingan peribadi.

"Jika pengurangan pegangan saham dilakukan dalam jumlah kecil, ia mungkin boleh diterima. Namun, penjualan hampir 10 peratus pegangan secara sekali gus memerlukan penjelasan yang lebih jelas dan meyakinkan.

"Saya berharap PAC dapat menyiasat perkara ini bagi memastikan rakyat, khususnya ahli KWSP, memahami alasan di sebalik transaksi ini," ujarnya.

Beliau menambah, keputusan tersebut mengakibatkan kehilangan potensi keuntungan sebanyak RM500 juta dalam rekod, yang secara langsung memberi kesan kepada pulangan simpanan ahli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!