Ombak Pazaar platform terbaik untuk usahawan Terengganu

Ombak Pazaar merupakan platform untuk membantu usahawan tempatan memperkenalkan produk berkualiti dan setanding produk luar yang ditawarkan dengan harga berpatutan di lokasi premium, Mayang Mall.
Lebih menarik, pengunjung akan terpesona dengan suasana di Ombak Pazaar yang direka sebagai 'pasar moden', menempatkan sebanyak 24 lot kedai yang sudah beroperasi.
Ia menawarkan pelbagai jenis perniagaan iaitu fesyen, kraftangan, cenderahati, kesihatan dan kecantikan, permainan dan hiburan serta makanan dan minuman.
Pengunjung juga berpeluang menikmati kemudahan membeli-belah kontemporari sambil menyelami warisan budaya Terengganu melalui produk buatan tempatan yang dijual di setiap kedai tersebut.
Rata-rata peniaga tempatan yang ditemui Sinar Harian mengakui Ombak Pazaar merupakan suatu platform terbaik bagi mempromosikan barangan dan produk mereka supaya dikenali masyarakat sekali gus mampu setanding dengan jenama antarabangsa lain.
Pemilik pakaian batik Iconic Attire, Syed Muhammad Farhan Alyahya Tuan Din @ Tuan Saifuldin, 28, berkata, dia tidak berfikir lama untuk membuat keputusan menyewa ruangan kedai di Ombak Pazaar memandangkan Mayang Mall yang baharu dibuka itu mampu menarik kedatangan pengunjung dari seluruh negara.
“Kita menyewa ruang kedai di Ombak Pazaar ini dengan harga mampu milik. Harga produk yang dijual berpatutan dengan nilai prestij terdapat pada Mayang Mall itu sendiri.
“Reka bentuk hiasan dan dekorasi di Ombak Pazaar ini membawa ciri-ciri eksklusif di mana ia melengkapkan satu standard dan pengalaman baharu kepada pengunjung,” katanya kepada Sinar Harian di Ombak Pazaar di sini.

Beliau berkata, ia juga membuktikan produk bumiputera mampu menembusi pasar raya premium seperti Mayang Mall. “Saya yakin potensi Mayang Mall itu sendiri adalah amat berbaloi bagi peniaga bumiputera seperti kami menyewa ruangan kedai di Ombak Pazaar.
“Ia mampu menarik orang ramai dari pelbagai jenis latar belakang untuk datang singgah membeli produk tempatan di sini,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Muhammad Farhan Alyahya berkata, Ombak Pazaar juga membantu peniaga tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada pelanggan di lokasi premium memandangkan stigma masyarakat yang lebih percaya dan menyukai kualiti sesuatu produk yang dipasarkan di lokasi sedemikian.
“Saya juga ada kedai menjual pakaian batik di Pasar Payang tetapi lebih pada kain pasang dan belum siap. Di Ombak Pazaar ini, saya menjual pakaian batik yang sudah siap dan masih mengekalkan budaya warisan Terengganu seperti batik lukis dan pelbagai variasi batik.
“Tindakan menyewa kedai di Ombak Pazaar ini menepati kehendak pembeli yang ingin membeli-belah di tempat yang selesa sekali gus membawa jenama kita lebih premium dan eksklusif.
“Kita mahu meletakkan standard baharu pada peminat batik di Malaysia bahawa batik juga mampu dijual di pusat membeli-belah yang mewah seperti ini namun harga yang ditawarkan berpatutan dengan hasil produk yang berkualiti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Muhammad Farhan Alyahya berkata, sambutan mengalakkan diterima daripada pelanggan namun disebabkan Ombak Pazaar tersebut masih baharu beroperasi maka terdapat sesetengah pengunjung yang masih belum mengetahui kewujudan pasar moden tersebut di Mayang Mall.
“Jangkaan saya dalam tempoh tiga bulan lagi lebih ramai pelanggan yang membeli di Ombak Pazaar. Ketika ini jualan masih baik namun ada yang tidak mengetahui kewujudannya memandangkan ia masih baharu beroperasi.
“Ditambah pula tidak lama lagi akan masuk bulan Ramadan dan kemudian menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri sudah tentu sambutan diterima sangat luar biasa sekali gus menambah pendapatan peniaga di sini,” jelasnya.
Hiasan corak batik
Sementara itu, pekerja kedai Luxe By Simply Famous, Nurul Ain Najwa Mazlan, 22, berkata, persekitaran Ombak Pazaar yang serba moden dan unik berjaya menarik minat pengunjung untuk singgah sekali gus membantu mempromosikan produk usahawan tempatan kepada orang ramai.

Beliau berkata, melihat reka bentuk, hiasan dari luaran Ombak Pazaar, suasana lebih segar dan baharu dengan hiasan corak batik serta pintu gerbang yang melambangkan Pantai Timur itu sendiri menarik perhatian pengunjung.
“Di kedai saya bekerja ini menawarkan produk minyak wangi hasil keluaran anak tempatan yang setanding dengan jenama antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurul Ain Najwa berkata, Ombak Pazaar juga memberi peluang kepada anak tempatan untuk mendapatkan pekerjaan khususnya golongan muda dan pelajar.
“Ia membantu meningkatkan ekonomi rakyat tempatan dan mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan anak muda,” katanya.
Selain ruang perniagaan, Ombak Pazaar juga mempunyai ruang untuk membolehkan mana-mana pihak menjalankan aktiviti pameran di kawasan tersebut.
Budaya rakyat Terengganu
Bagi pelajar Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Muhqlis Hakimi Eddie Syukri, 24, berkata, Ombak Pazaar mencerminkan budaya rakyat Terengganu dari segi hasil reka bentuk yang ada di ruang niaga ini.
“Ia berkonsepkan moden tetapi masih menampilkan reka bentuk dan hiasan bercirikan budaya dan warisan sekali gus menjadikan ia sangat unik serta lain daripada lain.
“Malah suasana dan ruang yang ada di Ombak Pazaar ini sangat bersesuaian dengan pameran yang kami adakan di sini dalam mempamerkan hasil kerja kami,” katanya.
Katanya yang menyertai pameran EXCEED 2025 itu bermula dari 10 Februari sehingga 23 Februari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Muhqlis Hakimi mengajak pelajar lain untuk mengadakan pameran atau sebarang program di Ombak Pazaar kerana persekitaran yang kondusif, selesa dan unik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
