Ekosistem keusahawanan Mara terus bantu usahawan ke tahap mikro

Rubiah dalam program BLESS Talk Siri 1/2025 bersama Zulfikri di Ibu Pejabat Mara pada Selasa.
Rubiah dalam program BLESS Talk Siri 1/2025 bersama Zulfikri di Ibu Pejabat Mara pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ekosistem keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus memainkan peranan penting dalam memperkasa usahawan khususnya golongan piko dan nano untuk beralih ke tahap mikro.

Inisiatif itu akan memberi manfaat besar kepada usahawan wanita luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, sebanyak 55 peratus daripada 55,000 usahawan dalam pangkalan data mereka berada dalam kategori usahawan piko.

Menurutnya, usahawan dalam kategori piko perlu merebut peluang inisiatif digitalisasi oleh Mara bagi meningkatkan daya saing perniagaan mereka.

“Saya berpuas hati dengan usaha membangunkan usahawan, namun masih banyak ruang yang perlu dipertingkatkan,” katanya.

“Kalau piko dan nano dapat kita naik taraf kepada mikro, ini satu kejayaan yang patut kita banggakan,” katanya.

Sesi Bless Talk turut diserikan dengan kehadiran Azhar (tengah).
Sesi Bless Talk turut diserikan dengan kehadiran Azhar (tengah).

Beliau berkata demikian dalam program BLESS Talk Siri 1/2025 yang menampilkan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Zulfikri Osman dan dihadiri oleh 200 orang usahawan Mara di Ibu Pejabat Mara di sini pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Ismasuhaimi Shariff dan barisan pengurusan Mara serta subsidiarinya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Rubiah, usahawan di Sabah dan Sarawak yang berhadapan dengan pelbagai cabaran perlu dibantu dari segi kebolehcapaian latihan serta pembangunan kemahiran.

Tambah beliau, KKDW akan terus memperkukuh sistem sokongan keusahawanan bersama agensi di bawahnya.

“KKDW bersama agensi terutama Mara, akan terus memperkukuh sistem sokongan keusahawanan bagi memastikan program yang dilaksanakan memberi impak dan membuka peluang kepada usahawan untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!