Sipitang wajar jadi bandar baharu seiring pembangunan di SOGIP

Industri berkaitan minyak dan gas mula berkembang susulan kemasukan pelabur ke Sipitang.
Industri berkaitan minyak dan gas mula berkembang susulan kemasukan pelabur ke Sipitang.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sipitang berpotensi untuk dijadikan sebagai bandar baharu yang akan mengubah lanskap ekonomi Sabah dengan kemajuan industri minyak dan gas di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, Sipitang yang terletak 140 kilometer dari Kota Kinabalu, kini semakin berkembang dengan enam pelabur telah mengesahkan pelaburan mereka di kawasan itu, termasuk projek pembinaan loji penyimpanan dan penapisan minyak petroleum yang dilancarkan pada Selasa.

Yusof
Yusof

"Secara keseluruhan kesemua projek ini adalah 'game changer' untuk Sipitang. Walaupun rakyat kurang percaya kerana belum nampak secara fizikal tetapi mungkin sekitar April akan masuk ke tapak tanah untuk majlis pecah tanah yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim..

“Projek ini akan mengubah seluruh lanskap Sipitang, bukan sahaja dari segi susun atur kedai dan kilang, tetapi juga membawa peluang pekerjaan, perniagaan, dan industri hiliran yang berkait dengan sektor minyak dan gas. Ini akan memberi manfaat kepada rakyat di Sipitang,” katanya pada majlis pelancaran projek tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

Sejajar dengan perubahan yang bakal dirasai di kawasan tersebut, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad itu mahu rakyat di Sipitang bersedia dari segi mental dan sosial untuk membuka 'pintu' bukan saja kepada pelabur tetapi pemegang taruh yang lain di daerah tersebut.

"Namun sebagai pemimpin, kita perlu merancang dan memikirkan bagaimana untuk kita melayan tetamu yang datang ini, bagaimana peranan orang Sipitang dan apa persediaan kita dari segi mental serta sosial.

"Sebagai pemimpin juga kita harus menyediakan infrastruktur yang lengkap, contohnya perumahan, sekolah, surau, masjid dan juga yang lain-lain termasuk pekan dan kedai baru dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Sipitang terletak bersempadan dengan Sarawak dan menjadi laluan untuk warga Brunei masuk ke Sabah.
Sipitang terletak bersempadan dengan Sarawak dan menjadi laluan untuk warga Brunei masuk ke Sabah.

"Jadi saya merayu usahawan di Sipitang untuk memikirkan ini juga. Begitu juga dari segi infrastuktur lain seperti Lebuhraya Pan Borneo hanya tunggu siap saja lagi, air dan elektrik kena cukup dan ini sudah dalam perancangan kita," katanya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak Sipitang akan menjadi sebuah bandar baharu yang dikenali sebagai bandar sempadan di Sabah.

"Dari dulu lagi saya sudah rancang saya minta kerajaan jadikan Sipitang sebagai bandar sempadan kerana kita ada lokasi yang strategik iaitu satu-satunya pekan yang berada di sempadan Sabah-Sarawak berjiran dengan Brunei.

"Apabila orang Brunei masuk dari Sarawak ke Sabah, tanggapan pertama adalah Sipitang, jadi seharusnya Sipitang itu sebagai bandar yang bersih dan cantik, barulah orang nampak kita ada industri, peluang pekerjaan, perniagaan dan sebagainya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!