Sarawak nikmati lebih RM280 bilion manfaat industri minyak dan gas - PM

Anwar Foto fail Bernama
Anwar Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sarawak menikmati pelaburan huluan dan infrastruktur berjumlah lebih RM280 bilion manfaat pembangunan industri minyak dan gas di negeri itu sejak 1976.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah pelaburan huluan tersebut dianggarkan lebih RM90 bilion nilai kontrak dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lalu (2014-2024) sahaja iaitu antara 2014 hingga 2024.

Katanya, syarikat vendor berdaftar dari Sarawak turut menikmati kontrak melebihi RM40 bilion bagi tempoh sama.

“Dari segi pulangan kewangan, Sarawak telah menerima bayaran tunai sebanyak RM49 bilion sehingga Disember 2024 serta bayaran cukai jualan sebanyak RM18.66 bilion sehingga suku ketiga tahun lalu.

“Sarawak juga menerima dividen sebanyak RM28.6 bilion sehingga Disember 2024 melalui pegangan saham State Financial Secretary of Sarawak (SFS) dalam Syarikat Kumpulan MLNG. SFS adalah syarikat diperbadankan di bawah 'State Financial Secretary (Incorporation) Ordinance, 1948,” katanya ketika sesi penerangan beliau mengenai aktiviti petroleum di Sarawak di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Menteri Kewangan itu berkata, selain itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) juga sudah menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan warga Sarawak.

Menurut Anwar, sepanjang 10 tahun lalu lebih RM600 juta sudah dibelanjakan dalam pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan manakala lebih 680,000 warga Sarawak mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik.

Jelasnya, lebih 4,300 warga Sarawak pula mendapat peluang pekerjaan di dalam Petronas bagi tempoh sama.

“Hasil mahsul besar yang diraih selama ini oleh negara sehingga dapat kita jadikan dana Petronas sebagai dana utama di peringkat awal pembentukan negara dan juga pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Artikel Berkaitan:

“Ini semua berkat negeri Sarawak Bumi Kenyalang dan kerjasama erat dan akrab kerajaan negeri dan Persekutuan. Maka sebab itulah kita memilih untuk memberikan sedikit penyesuaian dan pengiktirafan kepada peranan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Sarawak,” ujarnya,

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!