Tanpa permit, tinggal lebih masa, enam PATI ditahan

KUALA TERENGGANU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan enam warga asing dalam Ops Sapu di beberapa lokasi di daerah Setiu dan Besut pada Selasa.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, operasi tersebut dilakukan di tiga lokasi berasingan yang bermula pada jam 8 malam sehingga 4 pagi Rabu.
"Sebanyak empat premis diperiksa melibatkan 46 individu pelbagai warganegara.
"Hasil pemeriksaan, seramai enam lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 45 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
"Tangkapan terdiri daripada seorang warga Bangladesh dan lima warga Indonesia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, tangkapan tersebut dibuat di tiga lokasi berasingan iaitu seorang lelaki warga Bangladesh ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di sebuah tapak pembinaan di Setiu.
Selain itu, katanya, tiga lelaki warga Indonesia ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen sah di sebuah rumah kongsi di Kampung Mangkuk, Setiu.
"Dua lagi lelaki warga Indonesia turut ditahan di sebuah rumah kongsi dalam ladang kelapa sawit di Jalan Bukit Jeruk, Besut atas kesalahan yang sama," ujarnya.
Mohd Yusri berkata, semua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, antaranya Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa.
"Dalam operasi sama, satu notis telah dikeluarkan kepada seorang individu warga tempatan untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
