Kes pukul OKU: Polis cadang enam suspek dituduh merusuh, datangkan kecederaan

KEMAMAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes pukul melibatkan lelaki orang kurang upaya (OKU) di sebuah pasar pagi di sini telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada 5 Februari lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya mencadangkan supaya dua pertuduhan dikenakan terhadap enam suspek yang disyaki terlibat dalam kes itu.
Menurutnya, mereka yang dipercayai terlibat dalam kes itu dicadangkan dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK) kerana merusuh dan Seksyen 323 KK kerana mendatangkan kecederaan.
"Kita masih menunggu untuk mendapatkan arahan selanjutnya sama ada keenam-enam suspek yang ditahan akan dituduh mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Tunggu lah apa keputusan seterusnya daripada Pejabat Peguam Negara. Mungkin mengambil sedikit masa dan perlu melihat banyak sudut sebelum suspek dituduh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Daerah Kemaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di sini, pada Rabu.
Pada majlis tersebut, Superintenden Mohd Razi Rosli dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kemaman menggantikan Superintenden Hanyan Ramlan yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Kontinjen Kedah.
Dalam pada itu, katanya, kertas siasatan berhubung seorang pempengaruh yang sebelum ini ditahan selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan penyebaran kandungan jelek di media sosial berkaitan kes pukul OKU berkenaan juga telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Terengganu, dua minggu lalu.
"Kertas siasatan mengenai kes itu telah lengkap, kita telah mendapat laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berkaitan akaun Tiktok suspek dan kita masih menunggu keputusan (untuk pendakwaan).
"Kita cadangkan suspek dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Sementara itu, berliau berkata, laporan perubatan mengenai OKU ketidakupayaan mental yang terlibat dalam kes itu telah diterima daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara di Putrajaya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kejadian seorang lelaki dipukul di hadapan orang ramai di Pasar Pagi Jalan Padang Astaka, Chukai, Kemaman sekitar jam 9.30 pagi.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal memasuki tapak jualan dan terlanggar sebuah gerai, menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh dan bertaburan di jalan.
Susulan itu, beberapa individu yang berada di lokasi dipercayai telah bertindak memukul mangsa.
Insiden tersebut menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!