Hamas serah enam tebusan hidup, empat mayat ke Israel

GAZA - Hamas mengumumkan bahawa kumpulan itu akan menyerahkan enam tebusan Israel yang masih hidup serta empat mayat tebusan lain dalam fasa pertama gencatan senjata di Gaza minggu ini.
Gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 19 Januari selepas lebih 15 bulan pertempuran antara Israel dan Hamas, yang tercetus susulan serangan kumpulan militan Palestin itu ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Dalam perjanjian awal, seramai 33 tebusan Israel dijadualkan dibebaskan dengan 19 orang telah pun dilepaskan setakat ini sebagai pertukaran kepada lebih 1,100 tahanan Palestin.
Baki 14 tebusan masih dalam tahanan dan Israel mendakwa lapan daripadanya telah meninggal dunia.
Selain itu, lima rakyat Thailand yang ditahan di Gaza sejak serangan 2023 juga telah dibebaskan di luar skop perjanjian gencatan senjata.
Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya berkata, pihaknya memutuskan untuk membebaskan baki enam tahanan Israel yang masih hidup pada Sabtu, 22 Februari, seperti yang telah dipersetujui dalam fasa pertama.
Beliau turut mengesahkan bahawa kumpulan itu akan menyerahkan empat mayat pada Khamis, dengan Israel akan membebaskan tahanan yang sepadan sebagai pertukaran.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan perjanjian tersebut selepas rundingan di Kaherah.
Mereka turut menyatakan bahawa empat lagi mayat tebusan akan dikembalikan pada minggu hadapan.
Ini merupakan kali pertama Hamas menyerahkan mayat tebusan kepada Israel sejak perang bermula.
Sumber Palestin yang rapat dengan rundingan berkata, langkah ini bertujuan untuk mewujudkan suasana positif bagi memastikan kesinambungan gencatan senjata.
Fasa pertama gencatan senjata dijangka tamat pada 1 Mac, dan setakat ini rundingan mengenai fasa seterusnya termasuk kemungkinan menamatkan perang secara kekal, masih belum dimulakan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

