Pulang ke 'rumah sendiri' selepas 15 bulan

DEIR AL-BALAH - Susulan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, ratusan ribu rakyat Palestin sanggup bersesak untuk kembali ke utara Gaza yang sebelum ini menjadi medan pertempuran utama Zionis.
Genjatan senjata itu merupakan kejayaan paling dramatik dalam 15 bulan perang, yang telah mengakibatkan 46,000 nyawa penduduk Palestin terkorban.
Sekembalinya mereka di tanah air sendiri rata-rata penduduk meluahkan rasa syukur meskipun terpaksa bergelut dengan cabaran dalam membina semula kehidupan mereka setelah tempat mereka berlindung sebelum ini hancur disebabkan oleh kezaliman Zionis.

Di Utara Gaza, termasuk Bandaraya Gaza, menjadi kawasan paling teruk terjejas akibat peperangan dan lebih parah sejak Israel melancarkan serangan besar-besaran pada Oktober lalu.
Ramai yang kembali mendapati rumah mereka musnah, lalu membina khemah sementara di antara runtuhan dan menetap di situ.

Genjatan senjata membawa sedikit ruang kepada penduduk Palestin membina semula kehidupan mereka tetapi kerosakan yang ditimbulkan selepas konflik berbulan-bulan telah meninggalkan parut yang mendalam.

Di Gaza, kebanyakan infrastruktur seperti rumah, sekolah, hospital, dan jalan raya telah musnah atau rosak teruk.
Sementara itu, proses pembinaan semula adalah rumit disebabkan oleh kekurangan sumber dan bantuan yang tidak mencukupi.
Puluhan ribu keluarga ditinggalkan tanpa perlindungan, tinggal di khemah sementara atau kem yang terlalu sesak.
Cuaca sejuk, hujan tambah penderitaan
Hujan lebat yang melanda seluruh wilayah Gaza pada Khamis telah menambah penderitaan puluhan ribu penduduk tempatan yang rumah mereka terjejas teruk akibat pengeboman intensif.

Golongan yang terpaksa berpindah kini berdepan keadaan yang sangat mencabar akibat kesejukan dan angin kencang, kerana ribuan daripada mereka tinggal di khemah diperbuat daripada nilon dan kain nipis yang tidak banyak memberi perlindungan daripada hujan dan ribut.
Penduduk yang terpaksa berpindah berkata, khemah mereka diterbangkan angin kencang, menyebabkan mereka menghadapi kesejukan tanpa perlindungan.

Mereka yang kembali ke utara Gaza juga bergelut untuk mendirikan dan mengukuhkan khemah mereka, selain menghadapi kekurangan serius bekalan makanan dan bahan pemanas.
Kekurangan bahan api memburukkan lagi krisis, kerana banyak keluarga tidak memperoleh sebarang cara untuk memanaskan diri disebabkan suhu rendah pada waktu malam.
Kos bina semula Gaza cecah RM4.5 trilion

Pembangunan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion (RM4.5 trilion).
Bagi membantu meringankan beban itu, Malaysia antara negara yang menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia dan Jepun juga berjaya mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

