Turkiye bantu seimbang mekanisme pertahanan di Asia Tenggara

Laporan Sinar Harian berhubung cadangan Malaysia menjadikan Turkiye sebagai Rakan Dialog ASEAN.
Laporan Sinar Harian berhubung cadangan Malaysia menjadikan Turkiye sebagai Rakan Dialog ASEAN.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan Turkiye sebagai Rakan Dialog ASEAN dilihat berupaya mewujudkan mekanisme lebih seimbang dalam konteks pertahanan dan keselamatan serantau.

Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis (IEIJS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Aminurraasyid Yatiban berkata, ini kerana Turkiye merupakan sebuah negara pengeluar kepada industri alatan ketenteraan dan sektor pertahanan serta tidak ketinggalan dari segi kemampuan teknologinya.

“Dalam hal ini, saya kira dengan kerjasama yang diwujudkan antara Turkiye dengan ASEAN ini juga mendapat respons yang baik daripada kalangan anggota yang berminat untuk memperoleh alatan persenjataan yang dikeluarkan oleh Turkiye bagi tujuan keselamatan dan pertahanan negara-negara ASEAN.

“Dalam masa sama, kerjasama ini juga dapat diperluaskan dalam konteks 'counter-terrorism' contohnya, begitu juga dengan 'cyber security' sebagai antara yang signifikan dalam membincangkan isu keselamatan serantau. Dalam hal ini, Turkiye memang telah terlibat contohnya dalam ASEAN Regional Forum (ARF) berkaitan hal ehwal keselamatan dengan negara ASEAN.

“Jadi insya-ALLAH dengan kerjasama yang lebih erat kedua-dua belah pihak, baik di pihak Turkiye, begitu juga dengan negara-negara ASEAN sendiri, akan ada rakan kerjasama yang lebih positif dan proaktif,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, Turkiye sebelum ini telah menjadi Sektoral Dialogue Partner (SDP) pada 2017 dan membantu dalam pelbagai bidang.

“Jadi cadangan untuk upgrade daripada SDP kepada full dialogue partner adalah suatu cadangan yang sangat bagus melihat kepada kesungguhan Turkiye sendiri walaupun sebagai SDP sebelum ini, mereka telah mengusahakan dan mengetengahkan pelbagai inisiatif dalam beberapa bidang.

“Kerjasama yang utama antara lain adalah dalam bidang politik, jalinan diplomatik, perdagangan, hubungan ekonomi...hal yang membabitkan pengurusan bencana dan juga bantuan kemanusiaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, peranan yang dimainkan oleh Turkish Cooperation and Coordination Agency (TiCA) semasa Taufan Haiyan di Filipina sekitar 2013 dan tsunami serta gempa bumi di Indonesia menunjukkan kesungguhan Turkiye dalam membantu negara-negara anggota ASEAN yang ditimpa bencana.

“Begitu juga hal yang membabitkan pendidikan dan pertukaran kebudayaan, Turkiye memainkan peranan yang signifikan dan sentiasa dipertingkatkan, contohnya menyediakan biasiswa kepada pelajar-pelajar ASEAN dalam Turkiye Scholarship dan ini juga ditambah dengan pelbagai inisiatif yang berkait dengan pelancongan, hubungan kemanusiaan dan sebagainya.

“Saya kira ia adalah waktu yang paling tepat untuk diusulkan dan dibawa, apatah lagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk dinaik taraf, diperkasa, diperkuatkan lagi dengan menjemput Turkiye sebagai full dialogue partner bukan lagi SDP,” jelasnya.

Jelas Aminurraasyid, lebih meyakinkan apabila Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan senada dengan pendirian ASEAN yang menyokong genjatan senjata berkekalan di Semenanjung Gaza.

Erdogan juga, tambah beliau, meletakkan sepenuh usaha dalam misi pembangunan semula sekali gus meneruskan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Terdahulu, dalam kenyataan bersama sempena lawatan rasmi Presiden Turkiye itu ke Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan permohonan Turkiye untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN serta penglibatan negara berkenaan dalam mekanisme pertahanan serantau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!