Jack Ma kembali ke China selepas 'hilang' selama lima tahun

BEIJING - Kemunculan bilionair berprofil tinggi, Jack Ma yang bersalaman dengan Presiden China, Xi Jinping ketika acara disertai bos-bos syarikat gergasi digital dan teknologi tempatan mencuri tumpuan banyak pihak.
CCTV melaporkan Ma bagaimanapun tidak disebut sebagai peserta acara tersebut yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) termasuk Huawei, BYD, Tencent dan DeepSeek yang telah menggegarkan dunia teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kehadiran Ma pada pertemuan antara Jinping dan golongan elit digital perniagaan pada Isnin itu dilihat sebagai 'pemulihan' dan hasrat pemerintah untuk menyemai keyakinan dalam sektor swasta ketika ekonomi negara masih bergelut.
Kelantangan sebelum ini tidak disenangi kepimpinan Parti Komunis China (CCP) pada 2020 apabila tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah AS$37 bilion (RM164.5 bilion) oleh Kumpulan Ant, syarikat fintech yang diasaskan Ma di Bursa Saham Shanghai dihentikan pengawal selia.
Sejak itu, Ma 'berpindah-randah' di beberapa negara dan kekal hidup secara low profile.
Pada minggu lalu, beliau merakamkan gambar bersama staf di pasar raya milik syarikat e-dagang, Alibaba di Hunan, beberapa hari selepas Ma berkunjung ke pejabat aplikasi beli-belah dalam talian, Xianyu di Hangzhou.
Kepulangan Ma adalah untuk memenuhi tuntutan Jinping yang memerlukan usahawan untuk memulihkan pertumbuhan ekonomi yang lembap dengan inovasi setelah sektor swasta menyumbang lebih separuh daripada ekonomi China selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dah hasil cukai yang lumayan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

