Malaysia terajui ASEAN 2025: Teknologi digital, AI bawa transformasi ekonomi

Malaysia berhasrat memanfaatkan perkembangan kecerdasan buatan (AI) untuk pembangunan ekonomi dan mengatasi isu-isu etika berkaitan teknologi berkenaan.
Malaysia berhasrat memanfaatkan perkembangan kecerdasan buatan (AI) untuk pembangunan ekonomi dan mengatasi isu-isu etika berkaitan teknologi berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memainkan peranan penting dalam memacu agenda serantau termasuk memperkasakan ekonomi, perdagangan dan pelancongan.

Di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan, negara memegang tanggungjawab besar dalam memperkukuh hubungan di kalangan anggota ASEAN, memastikan kestabilan, kemakmuran dan menyesuaikan rantau ini dengan perubahan semasa global.

Sebelum ini, sejarah melihat negara menerajui kepimpinan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Setiap era dalam perkembangan ASEAN membawa fokus dan keutamaan berbeza, selaras dengan cabaran serta peluang yang wujud pada waktu itu.

Dari segi ekonomi, jurang digital dan kewujudan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi mencapai pertumbuhan inklusif serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara berhasrat memanfaatkan teknologi berkenaan untuk pembangunan ekonomi dan mengatasi isu-isu etika berkaitan AI.

Beliau turut menekankan keperluan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran profesional muda dalam bidang AI bagi menangani keperluan industri serta mempercepatkan kemajuan pendigitalan.

“Adalah penting untuk kita bekerjasama menerusi ASEAN, seperti inisiatif hijau ASEAN dan agenda digital bersama, untuk melengkapkan kekuatan setiap negara dan menangani cabaran bersama.

Artikel Berkaitan:

“Saya menyeru kerjasama lebih kukuh antara kerajaan, industri dan komuniti untuk membuka peluang dalam ruang digital serta memastikan tiada sesiapa yang tercicir dalam era kemajuan digital,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada 14 November tahun lalu.

Beliau sebelum ini menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di Peru yang mana, membincangkan pandangan dan berkongsi dasar negara berkaitan cabaran revolusi AI.

Rebut peluang manfaat besar AI

Penganalisis Ekonomi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia perlu mengambil peluang untuk membentuk kerjasama serantau dalam penggunaan dan pengembangan AI.

NURADLI RIZWAN
NURADLI RIZWAN

Ujar Nuradli Ridzwan Shah, dengan memanfaatkan teknologi tersebut, ia menjadi salah satu elemen penting dalam transformasi ekonomi sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat ASEAN.

“AI memberi impak besar kepada ekonomi. Contohnya apabila sesebuah syarikat memanfaatkan AI, penilaian terhadapnya agak tinggi.

“Maksudnya para pelabur lebih banyak melabur kepada syarikat yang berasaskan teknologi AI, berbanding syarikat biasa.

“Dalam konteks ASEAN, negara kita lebih berpeluang dalam meningkatkan penglibatan dalam AI sebab kita dekat dengan China dan ekonomi India, jadi kita punya asas pengguna yang agak unik dan lebih canggih,” ujarnya.

Menurut beliau, pemerkasaan dalam bidang berkenaan juga dapat memberi pengaruh positif kepada prestasi negara dan menarik pelaburan negara asing.

“Jika kita dapat menggalakkan pembangunan syarikat berasaskan AI, masuk dalam indeks Bursa Malaysia, ini akan mempengaruhi indeks negara kita dengan sangat besar,” menurutnya.

Platform promosi pelancongan negara

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hazrin Izwan Che Haron berkata, negara juga berpeluang mempromosikan keunikan dan keindahan lokasi-lokasi yang menarik sebagai destinasi pilihan di ASEAN.

“Sebagai contoh kita ada Visit ASEAN. Kempen-kempen seperti itu yang kita boleh perkasakan dan dapat mempertingkatkan pelancongan intra-ASEAN.

“Kita dapat mempromosikan pakej pelancongan rentas negara yang melibatkan Malaysia dan negara lain. Secara langsung ia meningkatkan serantau ASEAN,” menurutnya.

HAZRIN IZWAN
HAZRIN IZWAN

Ulas beliau, Malaysia juga dapat menonjolkan segmen pelancongan berasaskan pendidikan (edu-tourism) dalam ASEAN seperti program mobiliti pelajar di universiti.

Tambahnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh memainkan peranan dalam memperkasakan program tersebut dengan menganjurkannya di peringkat penjawat awam.

“Maksudnya melaksanakan sebuah program pertukaran pembudayaan dalam masyarakat berbilang kaum dan negara.

“Kita juga dapat memperkasakan Inisiatif Pelancongan Hijau ASEAN dan Standard Pelancongan ASEAN.

“Kalau negara kita ada satu standard panduan contohnya dari segi keselamatan, ia dapat membina kekuatan dan kepercayaan antara pelancong untuk datang ke negara kita,” menurutnya.

INFO

Manfaat Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam ekonomi, perdagangan, pelancongan.

No Image Caption

- Menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam transformasi ekonomi serantau, yang dapat meningkatkan produktiviti dan menarik pelaburan asing.

- Memperkukuh Inisiatif Pelancongan Hijau ASEAN

- Memanfaatkan kempen seperti ‘Visit ASEAN’ untuk mempromosikan destinasi menarik di Malaysia dan negara-negara ASEAN lain.

- Meningkatkan pelancongan rentas negara melalui pakej pelancongan bersama, yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi serantau.

- Memperkasakan segmen pelancongan berasaskan pendidikan (edu-tourism) melalui program mobiliti pelajar dan pertukaran budaya.

- Meningkatkan kepercayaan pelancong dengan memperkenalkan Standard Pelancongan ASEAN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!