Abdul Hadi gesa kerajaan kaji semula Peraturan Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR - Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menggesa Peraturan Dewan Rakyat dikaji semula kerana mendakwa banyak peraturan mesyuarat dibuat secara spontan, sekali gus bercanggah prinsip demokrasi.
Beliau mendakwa, banyak peraturan dimanipulasi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) bagi mengganggu ucapan serta perbahasan wakil pembangkang.
Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan hak kebebasan bersuara khususnya dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang sering dihadkan tanpa alasan kukuh terutama apabila ada pihak yang tidak tahan menerima kritikan.

"Mengenai kebebasan bersuara, saya minta peraturan dewan ini dikaji semula, banyak ‘standing order’ di samping yang tertulis, yang dibuat secara spontan bila pembangkang tegur kerajaan.
"Nak marah, buat peraturan tak boleh bercakap. Ini bercanggah dengan amar makruf nahi mungkar, bercanggah prinsip demokrasi, tidak boleh. Kecuali kata lucah, kesat, ini tak apa (disekat),” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Presiden Pas mempersoalkan dasar percukaian yang masih dilihat dikenakan secara menyeluruh tanpa mengambil kira keupayaan rakyat.
"Dalam Islam, cukai hanya diwajibkan pada orang berada sahaja, yang tak mampu tak perlu bayar cukai. Tapi sekarang, semua kena cukai...ini masalahnya.
"Zaman kekayaan dan kuasa berpusat dalam kelompok tertentu sudah berakhir dan sistem ekonomi yang adil perlu diperkasakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh," katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan mengenai projek merugikan rakyat kerana sehingga kini masih wujud lagi projek penambakan laut sepanjang pantai di Terengganu menggunakan pasir dan sering berubah setiap kali tiba musim Monsun Timur Laut (MTL).
Katanya, kerajaan perlu melakukan perubahan dengan mencontohi kaedah negara lain menangani kejadian hakisan pantai akibat ombak besar.
"Terengganu masalah hakisan pantai kerana tambak laut. Tambak laut dengan pasir, guna pasir sampai 40 tahun. Tahun ini angkut pasir, mari ombak musim tengkujuh hilang. Tahun depan ambil pasir pula.
"Saya pergi ke Thailand, Eropah, dia boleh pecah ombak Lautan Atlantik, Pasifik, mereka boleh buat. Mengapa kita jadi sia-sia? Kerana nak bagi projek kepada kawan-kawan. Ini masalah kroni,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!