[VIDEO] 'Orang putih tiga orang, tapi kita cakap bahasa Inggeris' - Abdul Hadi
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) membangkitkan isu usaha memartabatkan bahasa Melayu yang masih lemah di negara ini terutama dalam urusan rasmi dan acara-acara besar.
Beliau menegur sikap segelintir pihak yang didakwa lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis-majlis rasmi, meskipun majoriti hadirin adalah rakyat Malaysia yang sepatutnya faham bahasa Melayu.

Menurutnya, keadaan ini juga menjadi celaru sedangkan semua rakyat telah menerima bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
"Dalam majlis, orang putih ada tiga orang sahaja, yang orang kita (rakyat Malaysia) ini ramai, semua boleh bahasa Melayu, (tapi) cakap Inggeris juga. Surat rasmi, bicara di mahkamah, masih lagi (ada bahasa Inggeris).
"Kita lihat bangsa lain pergi ke (sidang) PBB (Pertubuhan Bangsa Bersatu), pemimpin mereka berucap dalam bahasa sendiri. Pemimpin kita tidak, berucap dalam bahasa Inggeris. Kecuali negeri yang dijajah pemikiran seperti Amerika Latin yang cakap Sepanyol, tempat Inggeris cakap Inggeris juga.
"Tapi negeri yang ada identiti, ada jiwa bangsa, cakap bahasa dia. Oleh sebab itu, memperkasakan bahasa kebangsaan ini sangat penting dan perlu disedari," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Pada masa sama, beliau yang juga Presiden Pas turut membangkitkan keadaan di mana papan tanda di bandar-bandar lebih menonjolkan bahasa asing berbanding bahasa Melayu, sekali gus mencerminkan kelemahan dalam usaha memperkasakan identiti kebangsaan.
"Bahasa Melayu ini bahasa rasmi. Dalam masa sama, kita tak larang belajar bahasa lain, boleh untuk tuntut ilmu.
"Tapi apa yang berlaku hari ini bercelaru, kedai-kedai di bandar-bandar semua bahasa ada, bahasa Melayu halus sahaja, bahasa Inggeris besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!