Pensyarah UPTM perkasa ilmu 18 pelajar kurang kemampuan, tercicir

BERMULA Oktober tahun lalu, enam pensyarah Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) berkongsi ilmu dan menyantuni 18 pelajar daripada kalangan kurang berkemampuan dan tercicir melalui program Future Caliph Centre.
Pengarah program, Dr Madihatun Zainuddin berkata, antara matlamat utama mereka adalah untuk memperkasakan ilmu pengetahuan berkaitan keagamaan, kerohanian dan pembinaan kendiri pelajar berkenaan.

“Selain itu, kita juga mahu melihat peningkatan kesedaran kepentingan ilmu pengetahuan kepada mereka selaku pelapis generasi masa hadapan.
“Program yang diadakan di Pusat Pembelajaran Komuniti Anjung Hikmah, Nilai itu juga bertujuan untuk memupuk jati diri yang jitu dan teguh dalam diri mereka,” katanya kepada Sinar Islam Plus.
Menurutnya, program berlangsung selama 12 sesi berakhir Februari itu terbahagi kepada tiga slot iaitu bahasa Mandarin, keagamaan (fardu ain dan kelas mengaji) serta kelas kendiri (aplikasi teknologi maklumat).

“Sebanyak empat modul pembelajaran disediakan sepanjang tempoh 12 sesi ini bagi tujuan memudahkan para peserta belajar dan seterusnya memahami ilmu yang diajar oleh tenaga pengajar.
“Ia dilaksanakan enam pensyarah UPTM yang mengajar di pusat pembelajaran tersebut setiap minggu,” katanya.
Tambahnya, pada akhir program, para pelajar yang berusia antara 10 hingga 17 tahun itu dilihat mampu mengaplikasikan pembelajaran mereka melalui penghasilan poster dan video.
“Hasil pelajar tersebut dipamerkan di dalam kelas pusat pembelajaran tersebut dan ibu bapa dapat melihat hasil kreativiti anak-anak mereka pada sesi penutup program,” katanya.

Program kemasyarakatan tersebut mendapat tajaan sepenuhnya All-Party Parliamentary Group Malaysia – Sustainable Development Goals (APPGM SDG) dan mendapat kerjasama daripada Pusat Pembelajaran Komuniti Anjung Hikmah, Nilai serta disokong penuh Naib Canselor UPTM, Prof Madya Dr Sharifah Sy Sheikh yang turun padang meraikan majlis penutupan program tersebut pada 7 Febuari 2025 yang lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

