Mampu tetapi masih meminta? Awas, berwaspadalah

TIDAK dinafikan terdapat orang senang dan berkemampuan masih meminta bantuan yang diperuntukkan kerajaan atau mana-mana pihak untuk kelompok miskin atau dalam kesusahan.
Sebenarnya, bolehkah kita berbuat demikian? Apakah hukumnya di sisi agama?
Menerusi hantaran di laman sosial Facebook pada Rabu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menegaskan, seandainya peruntukan kerajaan itu dikhaskan kepada orang miskin, maka siapa sahaja yang tidak termasuk dalam status kelompok itu adalah haram untuk menerimanya.
“Ketahuilah bahawa orang senang yang meminta seperti itu sebenarnya ‘mendapat' api neraka jahanam,” katanya sebagaimana ditulis dalam infografik yang dikongsikannya.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa meminta sedekah kepada manusia padahal dia sudah ada harta, maka sesungguhnya dia telah meminta bara api neraka jahanam. Boleh dia minta sedikit api neraka atau minta banyak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Dalam satu hadis lain, Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal yakni haram sedekah bagi orang kaya dan orang yang boleh berusaha mencari rezeki.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Menerusi satu hantaran di akaun Istagram miliknya sebelum ini, agamawan itu menegaskan, sekiranya orang yang bukan dalam kalangan golongan miskin atau susah menerimanya, maka mereka wajib memulangkan harta tersebut.
“Jika dia tidak pulangkan dan digunakan harta itu untuk dirinya atau anak dan isterinya, maka hukumnya adalah haram serta dikira memakan harta orang secara batil.
“Ingatlah, hukum orang yang sudah mencukupi kehidupannya meminta bantuan atau sedekah untuk dirinya adalah dilarang dalam Islam. Perbuatan itu adalah haram lagi zalim,” tegasnya.

Bagi orang yang menguruskan bantuan atau peruntukan itu, Ustaz Azhar mengingatkan bahawa haram hukumnya mereka memberikan sumbangan tersebut kepada orang yang diketahui bukan dalam kalangan kelompok miskin dan susah.
Ia tidak kiralah sama ada orang yang memohon bantuan itu tadi ialah saudara-maranya atau orang lain.
“Mengertilah, mereka (yang melakukan perbuatan itu) telah khianat pada amanah yang telah diberikan dan disebut dalam hadis sebagai orang yang tidak ada iman,” ungkapnya.
Ia sepertimana dinyatakan dalam hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada iman bagi siapa yang tiada amanah baginya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
