Perkasa pembangunan belia, sukan Pahang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Pahang memperkasakan pembangunan sukan dan belia dengan peruntukan besar menerusi Belanjawan 2025 bagi memastikan golongan muda terus berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan pembangunan sukan dan kesejahteraan belia di negeri itu.

Menurutnya, dalam acara Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak, kontinjen Pahang melepasi sasaran apabila membawa pulang 15 pingat emas berbanding sasaran awal 10 pingat emas.

“Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Atlet Para SUKMA menunjukkan prestasi luar biasa, sekali gus membuktikan Pahang mampu melahirkan bakat bertaraf kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Interviu x Podcast bertajuk ‘Kerajaan Pahang Cakap dan Buat!’ yang dihoskan oleh Fazli Zainul berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Bagaimanapun, bagi pasukan SUKMA Pahang, pencapaian mereka masih boleh dipertingkatkan.

“Prestasi SUKMA kali ini lebih baik berbanding edisi lalu, namun masih banyak ruang penambahbaikan menjelang SUKMA 2026 di Selangor,” tambah beliau.

"Kami sedar bahawa untuk mencipta kejayaan, pelaburan terhadap atlet perlu ditingkatkan. Kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan peralatan sukan, suplemen dan kemudahan latihan yang lebih baik," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu menjelaskan, pada edisi SUKMA lalu, kontinjen Pahang berjaya meraih 23 pingat emas berbanding sasaran 40 emas.

Pelaburan dalam infrastruktur sukan

No Image Caption



Kerajaan Pahang turut menumpukan pembangunan infrastruktur sukan, termasuk menaik taraf Stadium Darul Makmur dengan kos RM1.6 juta.

Projek itu melibatkan penukaran rumput kepada jenis Bermuda Tifgrand yang lebih tahan lasak serta pemasangan sistem saliran baharu.

“Kami mahu memastikan Stadium Darul Makmur menjadi mercu tanda sukan negeri dengan fasiliti bertaraf antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Kompleks Belia dan Sukan Pahang di Kuantan bakal siap pada September 2025 yang akan menjadi hab utama untuk aktiviti belia dan sukan di negeri ini.

“Kompleks ini juga mesra orang kelainan upaya (OKU) bagi memastikan atlet Para SUKMA mendapat kemudahan terbaik,” katanya.

Fadzli berkata, projek lain termasuk pembinaan kompleks sukan di Benta, Lipis dengan peruntukan RM3 juta.

“Kompleks ini dijangka menjadi model dalam mempertingkatkan prestasi atlet sejak peringkat awal,” kata Fadzli.

Sebagai langkah memastikan kebajikan atlet dan jurulatih terjaga, kerajaan negeri telah menaikkan elaun jurulatih SUKMA kepada minimum RM2,000 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini.

Selain itu, elaun atlet SUKMA yang layak juga telah dinaikkan kepada RM250 sebulan manakala pemenang pingat emas menerima RM500 sebulan sebagai insentif khas.

Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan sektor korporat untuk menyediakan biasiswa sukan kepada atlet cemerlang.

Program pembangunan belia

Di peringkat belia, kerajaan negeri melancarkan program Youth Empowerment Society (YES) untuk melatih pemimpin muda dalam bidang kepimpinan dan pengurusan organisasi.

No Image Caption

Selain itu, Persidangan ADUN Belia Negeri Pahang turut diperkenalkan sebagai platform kepada golongan muda untuk menyuarakan pendapat dan idea.

“Kami mahu mendengar suara belia dan memastikan dasar kerajaan negeri selari dengan keperluan mereka,” ujarnya.

Kerajaan Pahang juga melancarkan Majlis Rekreasi Pahang bagi menghimpunkan peminat sukan lasak seperti pendakian gunung, kayak dan wall climbing.

“Majlis ini lahir atas idea Sultan Pahang selepas kejayaan ekspedisi ke Everest Base Camp tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, antara program yang bakal dianjurkan termasuk pendakian Gunung Kinabalu dan Gunung Tahan serta ekspedisi ke Gunung Kilimanjaro di Kenya.

Perluasan capaian 5G dan 4G di luar bandar

Menyedari keperluan anak muda terhadap akses internet yang lebih baik, kerajaan negeri kini mempercepatkan pembangunan infrastruktur 5G dan 4G di seluruh negeri.

Fadzli berkata, sehingga kini, 99.3 peratus kawasan berpenduduk telah menerima liputan 4G, manakala liputan 5G mencapai 66 peratus.

“Kerajaan negeri telah mengarahkan sekitar 191 menara telekomunikasi beroperasi penuh menjelang 1 April tahun ini.

"Saya sudah meminta Digital Nasional Berhad (DNB) untuk menumpukan fasa kedua liputan 5G di daerah luar bandar seperti Raub, Lipis, Jerantut, Bera dan Maran. Ini penting bagi memastikan tiada belia yang tertinggal dalam era digital," katanya.

Selain itu, inisiatif PRISMA turut diperkenalkan bagi membantu komuniti Orang Asli dan kawasan pedalaman mendapatkan akses internet sementara sebelum sambungan penuh disediakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!