Rasisme penyakit mental yang perlu segera diubati

TINDAKAN seorang peniaga seorang penjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang meletakkan satu notis berunsur perkauman seperti yang tular di media sosial sudah tentu mengejutkan.
Penjual jagung itu kemudiannya memohon maaf dan menjelaskan perbuatan itu sama sekali tidak berniat untuk menghina kaum India.
Rasisme adalah isu yang telah wujud sejak lama, dan ia melibatkan diskriminasi atau prasangka terhadap individu berdasarkan bangsa, etnik, atau latar belakang budaya mereka.
Walaupun di Malaysia keadaannya masih terkawal namun pernah melakarkan sejarah hitam iaitu Peristiwa 13 Mei 1969, Hartal Pulau Pinang 1967 dan rusuhan kaum Taman Medan pada 2001.
Rasisme sebenarnya boleh dikatakan sebagai 'penyakit mental' kerana melibatkan pemikiran dan tingkah laku negatif terhadap individu atau kumpulan tertentu berdasarkan bangsa atau etnik mereka.
'Penyakit' ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang menjadi mangsa diskriminasi, tetapi juga kepada mereka yang melakukan diskriminasi itu sendiri - Ia boleh menyebabkan perasaan kebencian, ketakutan, dan keburukan yang mengganggu kestabilan emosi dan mental.
Untuk merawat 'penyakit mental' yang disebabkan oleh perkauman ini, penting untuk kita mendidik diri dan masyarakat tentang kesan rasisme dan bagaimana ia merosakkan hubungan sosial.
Di zaman kini, media sosial turut memainkan peranan besar dalam memperburukkan lagi isu rasisme ini.
Berita palsu, komentar kebencian, atau perbualan yang berterusan yang menggalakkan diskriminasi boleh memberi kesan negatif terhadap mentaliti masyarakat, menyebabkan mereka mempercayai kebencian itu sebagai norma.
Pendidikan yang menekankan kepelbagaian, empati, dan toleransi antara kaum adalah kunci untuk meredakan masalah ini.
Begitu juga, memberi ruang untuk perbincangan yang terbuka dan bebas tentang isu ini boleh membantu dalam mencipta pemahaman dan mengurangkan ketegangan.
Masih ada harapan untuk mengubat penyakit mental ini terutamanya melalui pendidikan, pembentukan polisi yang lebih inklusif, serta usaha mempromosikan dialog dan pemahaman antara kaum.
Justeru, semua pihak – kerajaan, pemimpin masyarakat, dan individu – perlu bekerjasama dan mengamalkan 3R iaitu Respect (Hormat), Relate (Berhubung) dan Reaffirm (Mengukuhkan) untuk mengatasi isu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!