Tunku Abdul Rahman lambang perpaduan negara

Anwar hadir pada Majlis Memperingati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, di Memorial Tunku Abdul Rahman, Jalan Dato' Onn pada Isnin yang turut dihadiri Aaron. Foto Bernama
Anwar hadir pada Majlis Memperingati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, di Memorial Tunku Abdul Rahman, Jalan Dato' Onn pada Isnin yang turut dihadiri Aaron. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, bukan sekadar Perdana Menteri pertama Malaysia, tetapi juga lambang perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kepada kestabilan negara hari ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang berteraskan toleransi, keadilan dan kasih sayang telah membentuk asas kukuh kepada perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Malaysia.

“Beliau percaya bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kesepaduan rakyatnya.

“Oleh itu, Tunku Abdul Rahman berusaha mengukuhkan hubungan antara kaum serta memastikan dasar-dasar yang menjamin layanan adil dan saksama kepada semua rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Memperingati Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini, pada Isnin.

Menurut beliau, semangat perpaduan yang diperjuangkan oleh Tunku Abdul Rahman perlu terus dihayati dan dijadikan pedoman dalam kehidupan rakyat Malaysia, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa seperti perbezaan fahaman politik, isu sosial dan ancaman kepada keharmonian kaum.

Aaron menegaskan juga bahawa prinsip Rukun Negara yang diperkenalkan pada 1970 perlu terus dijadikan pegangan rakyat Malaysia bagi memastikan negara kekal harmoni dan bersatu padu.

“Prinsip-prinsip Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan bukan sekadar slogan, tetapi ia adalah nilai-nilai yang mengikat kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pemahaman mendalam mengenai Rukun Negara bukan hanya dapat mengelakkan perpecahan dalam masyarakat, malah berupaya memperkukuh perpaduan nasional seperti yang diimpikan oleh Tunku Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

“Dalam era globalisasi dan digitalisasi ini, masyarakat mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir luar yang boleh menggugat perpaduan. Oleh itu, kita semua harus memainkan peranan untuk memastikan nilai-nilai ini terus diterapkan dalam kehidupan seharian,” tambahnya.

Dalam usaha mengenang jasa tokoh negara itu, Aaron menyeru rakyat Malaysia, terutama golongan muda, untuk melawat Memorial Tunku Abdul Rahman, yang menempatkan pelbagai warisan dan dokumen penting mengenai perjuangan kemerdekaan.

“Memorial ini mengabadikan sejarah kepimpinan Tunku, termasuk meja yang digunakan semasa Pengisytiharan Kemerdekaan 1957, Pejabat Perdana Menteri yang pertama, serta kereta Nash Rambler 1951 yang membawa beliau pulang dari London selepas merundingkan kemerdekaan,” katanya.

Menurutnya, memorial ini bukan sekadar pusat pameran sejarah, tetapi juga ruang untuk rakyat memahami visi dan aspirasi Tunku Abdul Rahman dalam membentuk sebuah negara yang bersatu-padu dan harmoni.

Dalam usaha meneruskan legasi perjuangan Tunku Abdul Rahman, Aaron berkata Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR), yang ditubuhkan pada 1966, terus komited dalam menyediakan peluang pendidikan kepada golongan yang kurang berkemampuan.

“Sejak penubuhannya, YTAR telah membantu lebih 9,500 pelajar dengan menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa YTAR kini di bawah tanggungjawab Kementerian Perpaduan Negara dan sedang giat melaksanakan program seperti Biasiswa Tunku Abdul Rahman, Closing The Gap dan Future Ready yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran serta kebolehpasaran graduan, khususnya dalam kalangan golongan B40.

“Dalam beberapa tahun ini, YTAR berjaya menjalin kerjasama strategik melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan nilai tajaan RM22 juta, termasuk RM5.8 juta tajaan tunai serta RM16.5 juta pengecualian yuran pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT),” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!