'Sempadan Kelantan bukan sekadar isu negeri tapi cerminan imej negara'

Rantau Panjang yang kurang mendapat sambutan berbanding satu masa dulu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Rantau Panjang yang kurang mendapat sambutan berbanding satu masa dulu. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Sempadan Kelantan dengan Thailand bukan sekadar isu negeri, sebaliknya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sempadan negara yang mencerminkan imej Malaysia.

Justeru, usaha membangunkan kawasan sempadan Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor perlu menjadi agenda nasional bagi memastikan ia setanding dengan bandar sempadan Thailand yang lebih maju dan tersusun.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadhli Hassan, berkata, kerajaan negeri itu dan kerajaan Persekutuan kini bekerjasama dalam usaha menghidupkan kembali ekonomi Rantau Panjang termasuk menerusi pembinaan Zon Bebas Cukai baharu yang bakal memberi nafas baharu kepada sektor perdagangan dan pelancongan di kawasan itu.

Menurutnya, Rantau Panjang sebelum ini terkenal sebagai destinasi beli-belah utama di sempadan kerana menawarkan pelbagai barangan dari Thailand pada harga murah.

Namun, keistimewaan itu semakin pudar apabila nilai Ringgit Malaysia jatuh berbanding Baht Thailand menyebabkan harga barangan meningkat dan kurang menarik minat pembeli.

“Dahulu, ramai rakyat Malaysia termasuk dari luar Kelanta datang ke Rantau Panjang untuk membeli barangan Thailand kerana harganya murah.

“Tetapi hari ini dengan nilai Ringgit yang lebih rendah berbanding Baht, kelebihan itu sudah tiada.

"Ini memberi kesan kepada peniaga tempatan dan menjejaskan ekonomi setempat,” katanya kepada pemberita selepas Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri bersama Media Kelantan 2025 di sebuah hotel di Tunjong di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Gerai-gerai jualan yang terdapat di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Gerai-gerai jualan yang terdapat di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Beliau berkata, jika dibandingkan dengan bandar sempadan Thailand seperti Golok, bandar sempadan Malaysia kelihatan ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur dan daya tarikan ekonomi.

“Seharusnya, apabila seseorang melintasi sempadan dari Thailand ke Malaysia, mereka melihat Rantau Panjang sebagai bandar pertama di Malaysia, bukan sekadar bandar dalam negeri Kelantan.

“Ini mencerminkan imej negara kita di mata dunia,” katanya.

Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, kerajaan negeri mengusulkan keperluan pembangunan lebih menyeluruh di kawasan sempadan.

“Alhamdulillah, kita mendapat maklum balas positif daripada kerajaan Persekutuan.

“Kita sudah mengenal pasti tapak baharu iaitu berdekatan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau Masjid Beijing untuk dijadikan Zon Bebas Cukai yang baharu dan peruntukan awal mula diterima,” katanya.

Menurut Dr Mohamed Fadhli, usaha ini bertujuan menjadikan Rantau Panjang lebih kompetitif berbanding bandar sempadan Thailand serta menarik lebih ramai pelancong dan pembeli.

“Kerajaan negeri memberikan komitmen penuh untuk memastikan pembangunan ini berjaya.

“Langkah bukan sahaja akan menghidupkan kembali ekonomi Rantau Panjang tetapi juga memberi manfaat kepada penduduk setempat dan mengukuhkan peranan kawasan sempadan sebagai hab perdagangan penting negara,” katanya.

Pembangunan semula Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor sebagai bandar sempadan bertaraf nasional dijangka dapat memperkasa sektor ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan daya saing Malaysia berbanding negara jiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!