'Tok, Tunku Abdul Rahman pilih nama saya' - Sharifah Menyalara

KUALA LUMPUR – "Saya dinamakan sendiri oleh Tok kerana nama ibu beliau yang sangat dikasihi, Cik Puan Lara,” luah cucu kepada Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein.
Menurut Sharifah, beliau masih mengingati kenangan manis bersama datuknya, yang lebih mesra dipanggil ‘Tok’ atau ‘Tok Tam’ dalam keluarganya.
“Walaupun saya baru berusia empat tahun ketika itu, masih jelas di ingatan bagaimana Tok akan singgah ke rumah kami setiap hari tanpa gagal dan membawa saya ke kediamannya. Saya akan menangis jika beliau tidak datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperingati Tunku Abdul Rahman di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini pada Isnin.
Tambahnya, Tunku Abdul Rahman bukan sekadar seorang pemimpin negara tetapi juga seorang datuk yang penyayang serta mementingkan nilai perpaduan dalam keluarganya.
"Rumah Tok bukan sekadar tempat tinggal beliau, tetapi juga rumah untuk semua orang.
Beliau menerima semua lapisan masyarakat tanpa mengira warisan atau agama. Malah, pekerja di kediamannya datang daripada pelbagai latar belakang, mencerminkan semangat Malaysia yang inklusif," katanya.
Sharifah dalam pada itu turut berkongsi pesanan dan semangat perjuangan datuknya yang tidak pernah luntur, khususnya dalam memastikan perpaduan rakyat terus terpelihara.
“Tok selalu berpegang kepada prinsip bahawa menerima perbezaan menjadikan kita lebih kuat sebagai sebuah negara. Mesej itu kekal relevan hingga ke hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sharifah turut mengimbas kembali detik-detik akhir perjuangan Tunku Abdul Rahman yang masih aktif menyampaikan ucapan rasmi di Sarawak meskipun dalam keadaan uzur.
"Kami sekeluarga berharap agar segala kebaikan dan pengajaran daripada Tok dapat kita abadikan sepanjang zaman.
“Marilah kita bersama-sama mengenang, menghargai dan meneruskan perjuangan beliau demi negara Malaysia yang lebih harmoni," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!