Perbezaan kaum bukan pemecah belah, tetapi kekuatan negara – Anwar

KUALA LUMPUR – Kepelbagaian kaum, budaya, dan agama di Malaysia bukanlah satu kelemahan, sebaliknya merupakan kekuatan yang mampu memperkukuhkan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia adalah antara negara unik yang rakyatnya boleh menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, serta bahasa suku kaum.
“Perbezaan warna kulit, keyakinan agama dan budaya boleh digunakan untuk menanam kebencian, tetapi kita memilih untuk melihatnya sebagai kekuatan yang menambah mutu kesatuan negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Memperingati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Memorial Tunku Abdul Rahman pada Isnin.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Dagang dan cucu kepada Tunku Abdul Rahman, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein.
Anwar turut menyatakan bahawa seni dan budaya Malaysia yang pelbagai turut menjadi daya tarikan di peringkat antarabangsa.
“Baru-baru ini, ramai pemimpin dunia yang melawat Malaysia menyatakan rasa kagum dengan keunikan budaya negara kita. Ini adalah bukti bahawa kepelbagaian kita adalah keistimewaan, bukan penghalang,” ujarnya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa negara perlu terus berpegang kepada prinsip asas yang telah diasaskan oleh pemimpin terdahulu bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang bersatu dan makmur.
Menurutnya, semangat kesatuan dalam kepelbagaian merupakan tunjang utama kepada kemajuan dan kestabilan negara.

“Kita tidak boleh mengabaikan fakta bahawa asas negara ini dibina atas semangat kesatuan. Malaysia akan terus maju jika kita menghargai dan mempertahankan perpaduan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyeru generasi muda agar memahami dan menghargai perjuangan pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman dalam membina Malaysia yang bersatu.
Menurutnya, Memorial Tunku Abdul Rahman bukan sekadar untuk memperingati sejarah, tetapi bertujuan memberi kesedaran dan pengajaran kepada rakyat, khususnya anak muda.
“Ini bukan hanya peringatan sejarah, tetapi untuk memberi kefahaman kepada generasi baharu tentang erti perjuangan, pengorbanan dan kepentingan perpaduan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin terdahulu menghadapi pelbagai cabaran dalam mempertahankan prinsip asas negara.
“Walaupun diterima oleh majoriti rakyat, perjuangan Tunku Abdul Rahman tidak terlepas daripada hambatan dan tentangan. Namun, beliau tetap teguh mempertahankan prinsip perpaduan negara,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar Tunku Abdul Rahman dalam menuntut kemerdekaan Malaya dan membentuk Malaysia.
Menurutnya, Tunku menggunakan pendekatan diplomasi yang bijak dan berstrategi dalam menarik sokongan Sabah dan Sarawak bagi menyertai pembentukan Malaysia.
“Dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu pada ketika itu, hanya pemimpin berwawasan seperti Tunku Abdul Rahman yang mampu melihat jauh ke hadapan dan memastikan Malaysia terbentuk dengan aman,” ujarnya.
Anwar turut menegaskan bahawa Tunku Abdul Rahman telah meletakkan asas penting dalam pembinaan negara melalui beberapa prinsip utama yang masih dipertahankan sehingga kini.
“Tunku menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta kedaulatan Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan,” jelasnya.
Menurutnya, walaupun prinsip-prinsip ini dijaga dengan ketat, Tunku tetap mengamalkan sikap keterangkuman dengan merangkul semua kaum dan budaya dalam membentuk identiti Malaysia.
“Tunku Abdul Rahman tidak melihat perbezaan sebagai pemisah, sebaliknya beliau percaya bahawa kepelbagaian ini adalah aset yang boleh memperkukuhkan negara,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyentuh tentang perjuangan Tunku Abdul Rahman dalam menegakkan sistem demokrasi dan kebebasan media di Malaysia.
Menurutnya, walaupun sistem demokrasi Malaysia masih berkembang dan tidak sempurna, Tunku Abdul Rahman telah meletakkan asas penting dalam mempertahankan kebebasan bersuara.
“Ketika itu, kita berdepan ancaman dari Parti Komunis Malaya dan cabaran politik lain. Namun, asas kebebasan media dan demokrasi tetap ditegakkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab generasi kini adalah memastikan prinsip demokrasi terus hidup dan dihormati.
“Kita harus memberi makna kepada demokrasi dan menghayati semangat perjuangan pemimpin terdahulu dalam mempertahankan kebebasan dan keadilan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

