'Tiada ruang untuk budaya politik samseng'

Steven Sim (barisan depan, lima dari kiri) menghadiri majlis menyambut ulang tahun kelahiran Kit Siang ke-84 di Dewan Han Chiang High School pada 15 Februari lalu.
Steven Sim (barisan depan, lima dari kiri) menghadiri majlis menyambut ulang tahun kelahiran Kit Siang ke-84 di Dewan Han Chiang High School pada 15 Februari lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Batu Kawan menuntut tindakan tegas dikenakan ke atas pembantu khas kepada seorang pemimpin tertinggi parti itu yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong dalam satu majlis rasmi parti, baru-baru ini.

Ketua DAPSY Batu Kawan, Liinesh Selluandan berkata, tindakan lelaki itu tidak beretika dan perbuatan seumpama itu perlu dihentikan serta-merta.

“Kami tidak akan membenarkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kredibiliti Steven Sim sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang. Semua ahli parti perlu menghormati disiplin dan etika dalam setiap tindakan mereka,” katanya.

Liinesh
Liinesh

"Perbuatan tersebut bukan sahaja mencemarkan imej DAP malah turut merosakkan prinsip perjuangan parti yang berpegang kepada demokrasi, disiplin dan keadilan. DAPSY Batu Kawan berdiri teguh di belakang Steven Sim yang telah menunjukkan kepimpinan cemerlang demi rakyat dan parti, " katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut beliau berkata, semua pihak dalam DAP perlu kembali kepada perjuangan asal parti iaitu membela rakyat serta memperjuangkan demokrasi tulen.

“Tiada ruang untuk budaya politik samseng yang hanya akan merosakkan imej dan matlamat perjuangan kita. DAP adalah parti yang memperjuangkan kebebasan, hak asasi manusia dan integriti,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, konflik dalaman dalam DAP kian memuncak apabila pembantu khas kepada seorang pemimpin tertinggi parti dengan secara terbuka mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Steven Sim dalam bahasa Hokkien dalam sebuah majlis makan malam di sini.

Artikel Berkaitan:

Majlis makan malam itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada veteran parti itu, Tan Sri Lim Kit Siang.

Seorang saksi dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku ketika Steven Sim sedang bersalaman dengan penyokong selepas majlis makan malam tersebut.

Bagaimanapun, Steven Sim dilihat tetap tenang dan hanya membalas dengan senyuman.

Sebahagian daripada insiden itu sempat dirakamkan dan video berkenaan dimuat naik di media sosial dan menjadi tular.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!