Kerajaan digesa ambil tindakan tegas isu pemerdagangan manusia di Myanmar

Salah satu rakaman video yang menunjukkan mangsa dipukul selepas gagal memenuhi permintaan sindiket. FOTO: SINAR HARIAN
Salah satu rakaman video yang menunjukkan mangsa dipukul selepas gagal memenuhi permintaan sindiket. FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) digesa mengambil tindakan tegas bagi menangani isu pemerdagangan manusia yang semakin membimbangkan, khususnya yang melibatkan rakyat Malaysia.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, usaha diplomatik perlu dilakukan antara kerajaan Malaysia dengan Myanmar dan Thailand bagi menyelamatkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di kawasan seperti Myawaddy, Myanmar.

"Saya berharap pihak kementerian, sama ada KDN atau Kementerian Luar, mengambil tindakan segera dengan berbincang bersama Menteri Luar Myanmar dan Thailand untuk mencari jalan menyelamatkan kira-kira 2,000 rakyat Malaysia yang dipercayai masih terperangkap di negara itu.

"Isu ini sangat serius. Walaupun saya sudah dua tahun tidak terlibat dalam operasi menyelamat secara besar-besaran seperti sebelum ini, namun kerajaan perlu bertindak segera dalam membantu mangsa yang masih terperangkap," katanya pada Sabtu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum itu turut mencadangkan agar kerajaan mencontohi pendekatan yang dilakukan Hong Kong dan Taiwan dalam mengetatkan kawalan ke atas rakyat mereka yang ingin melancong atau bekerja di Thailand.

"Kalau boleh, kita buat saringan seperti temu duga untuk mengesahkan tujuan perjalanan mereka sama seperti yang dilakukan Hong Kong dan Taiwan laksana.

"Selain itu, program kesedaran perlu dilaksanakan bagi mendidik masyarakat, khususnya anak muda, tentang bahaya tawaran kerja palsu yang menawarkan ganjaran lumayan.

"Saya yakin langkah ini boleh menghalang anak muda daripada terjerat dalam perangkap sindiket ini," ujarnya.

Terdahulu, Chon Siang memaklumkan bahawa dua daripada tiga individu yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar telah berjaya diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mangsa adalah golongan anak muda dari pelbagai kawasan seperti Batu Pahat, Johor; Port Dickson, Negeri Sembilan; dan Kuala Lumpur, yang dipaksa bekerja dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.

"Mangsa dari Batu Pahat dan anak kepada seorang doktor di Kuala Lumpur telah berjaya dibawa pulang.

"Namun, kes melibatkan mangsa dari Port Dickson masih belum menunjukkan perkembangan positif," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes pemerdagangan manusia di Malaysia.

Chon Siang mendedahkan, sindiket ini sering memperdaya anak muda melalui tawaran kerja palsu dengan janji gaji sehingga AS$2,000 sebulan, elaun tinggi, dan pekerjaan mudah.

"Namun, sebaik tiba di Thailand, mangsa akan diseludup ke Myawaddy. Di sana, mereka didera secara fizikal dan mental.

"Mereka bukan sahaja dieksploitasi sebagai buruh paksa, malah ada yang diancam untuk dijadikan ‘bank organ’ jika gagal memenuhi sasaran sindiket," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anak muda agar berhati-hati dengan tawaran kerja yang kelihatan terlalu baik untuk dipercayai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!