Lebihkan fokus aspek tadbir urus baik boleh lonjak kedudukan Malaysia dalam CPI - Pakar

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 tidak berganjak di tangga ke-57 untuk tahun kedua berturut-turut dan skor Malaysia juga kekal pada 50 mata sejak 2023. Gambar kecil: Abd Hakim
Kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 tidak berganjak di tangga ke-57 untuk tahun kedua berturut-turut dan skor Malaysia juga kekal pada 50 mata sejak 2023. Gambar kecil: Abd Hakim
A
A
A

SHAH ALAM - Memberikan fokus yang lebih kepada aspek tadbir urus baik oleh semua agensi kerajaan, disifatkan sebagai langkah terbaik meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Abd Hakim Mohad berkata, CPI bukan semata-mata tentang rasuah tetapi mencakupi hal berkaitan tadbir urus yang baik.

Menurutnya, aspek penting tersebut dilihat belum berjaya digerakkan sepenuhnya, meskipun kerajaan telah memulakan beberapa langkah positif bagi menambah baik tata kelola pentadbiran.

"Usaha kerajaan memperkasakan tata kelola dalam perkhidmatan awam bagi memastikan perkhidmatan yang adil, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat adalah sangat bertepatan.

"Malah penubuhan Ombudsman Malaysia bagi meningkatkan mekanisme semak dan imbang yang bebas daripada pengaruh eksekutif serta pelaksanaan Strategi Pembenterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 sebagai kesinambungan kepada Pelan Antirasuah Nasional juga telah dilancarkan.

"Selain itu, penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal bagi meningkatkan tata kelola, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara serta Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) adalah satu langkah tepat," katanya pada Isnin.

Justeru katanya, usaha murni seumpama itu perlu diteruskan dan diperluaskan pelaksanaannya kepada semua agensi kerajaan.

Sehubungan itu katanya, antara langkah besar yang boleh dicadangkan adalah skor CPI negara dijadikan sebagai salah satu Indeks Prestasi Utama (KPI) penting di semua kementerian.

Jelasnya, perkara tersebut telah dijadikan sebagai salah satu resolusi Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah, Peringkat Kebangsaan Kali ke-3 pada 26 hingga 27 September 2024.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya cadangan ini diterima, sudah pasti semua kementerian akan mengambil serius tentang skor CPI negara dan tidak meletakkan tanggungjawab ini di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata," ujarnya.

Tambahnya, strategi tersebut boleh dilihat sebagai serampang dua mata yang mana dapat membantu meningkatkan sistem penyampaian agensi kerajaan, selain pada masa yang sama dapat meningkatkan skor CPI.

Apa yang pasti katanya, menerusi kerjasama semua pihak, peluang negara untuk mencapai kedudukan 25 terbaik pada 2033 dalam carta CPI sebagaimana yang dihasratkan kerajaan bakal dicapai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!