Empat dasar pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

Cadangan untuk penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] merangkumi empat dasar. Gambar hiasan 123RF
Cadangan untuk penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] merangkumi empat dasar. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan untuk penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711] merangkumi empat dasar termasuk pengubahsuaian proviso di bawah Seksyen 6 membuat pendedahan berhubung sebarang kelakuan tidak wajar, selaras dengan tafsiran di bawah Seksyen 2 Akta 711.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan, Seksyen 11 Akta 711 bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat ditambah baik di mana perlindungan boleh dilanjutkan sekiranya pendedahan yang dibuat adalah berdasarkan suci hati dan tidak melibatkan sebarang kepentingan peribadi.

Selain itu, kaedah dan skala pengiraan ganjaran turut diperkenal melalui Peraturan di bawah Akta 711 mengguna pakai kuasa menteri untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Seksyen 27(1) Akta 711 dan diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan.

"Perlindungan diperluaskan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696]," katanya pada Isnin.

Jabatan itu juga mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Perlindungan Pemberi Maklumat secara interim untuk memantapkan aspek pengurusan dan penyelarasan pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat di bawah Akta 711 sebelum penubuhan agensi berpusat sebenar.

"Jawatankuasa ini juga boleh dijadikan sebagai penanda aras bagi menentukan fungsi sebenar agensi berpusat serta tatacara bersesuaian bagi mengendalikan pelbagai senario pendedahan kelakuan tidak wajar melalui pelbagai agensi," jelasnya.

Menurut BHEUU, penggubalan Akta 711 bertujuan untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dengan menggalakkan dan memudahkan pemberi maklumat membuat pendedahan kelakuan tidak wajar, melindungi orang yang membuat pendedahan daripada tindakan yang memudaratkan dan supaya pendedahan tersebut disiasat dan diuruskan dengan sewajarnya.

Cadangan pindaan dan penambahbaikan Akta 711 ini juga merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) bagi Tahun 2019–2023 iaitu di bawah Strategi 5: Menginstitusikan Kredibiliti Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang dan Objektif Strategik 5.3.

Lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa kerja, lima bengkel pembangunan dan penetapan dasar serta enam sesi libat urus telah diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, penguatkuasaan utama serta badan bukan kerajaan bagi meneliti semula Akta 711 secara keseluruhannya.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah penting untuk mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat daripada pemegang taruh serta kesediaan badan-badan yang telah diperuntukkan kuasa terhadap mekanisme pelaksanaan dan implikasi yang mungkin berbangkit apabila pindaan ini dikuatkuasakan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!