[VIDEO] Akta 711: Pemberi maklumat tidak dilindungi jika lapor kepada umum - Azalina
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi melindungi pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada umum sebelum melaporkannya kepada agensi penguatkuasaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, keputusan itu bagi membolehkan agensi terlibat membuat penilaian sama ada maklumat itu perlu disiasat atau sebaliknya.
"Apabila pergi kepada agensi penguatkuasa dan kita adalah pemberi maklumat, kita mahukan perlindungan dan agensi itu akan memberikan justifikasi tersebut.
"Maknanya dia (pemberi maklumat) tidak boleh pergi kepada awam kemudian mahukan perlindungan kerana kadang-kadang pemberi maklumat juga berniat tidak baik.
"Sebab itu agensi penguatkuasa yang termaktub dalam akta sekarang ini menyatakan perlu pergi laporkan kepada mereka terlebih dahulu," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Teressa Kok (PH-Seputeh) mengenai pengecualian kepada pemberi maklumat yang mendedahkan kes berkepentingan awam.
Dalam pada itu Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang memaklumkan, kerajaan juga sedang meneliti cadangan pindaan yang membenarkan pendedahan dibuat kepada pihak lain bagi menggalakkan lebih ramai tampil ke hadapan.
Memberi contoh amalan sesetengah negara luar, beliau berkata, orang awam boleh menyebarkan maklumat berkaitan kepada umum sekiranya agensi penguatkuasa tidak bertindak dalam tempoh 90 hari selepas laporan dibuat.
"Ia supaya agensi penguatkuasa menjalankan siasatan ataupun memberikan respons kepada laporan yang didedahkan.
"Di Malaysia, kita belum lagi praktis (cara) tersebut dan pindaan yang kita buat adalah berkala, langkah demi langkah," jelasnya.
Sementara itu Azalina berkata, cadangan pindaan Akta 711 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat selepas beberapa cadangan penambahbaikan dimuktamadkan.
Menurut beliau, lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa, lima bengkel pembangunan dan penetapan sudah dilaksanakan bagi meneliti semula akta tersebut.
"Antara pihak yang terlibat dalam memberikan pandangan menyeluruh ialah Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Rasuah Busters, Transparency International, Majlis Peguam serta CSO Platform for Reform bagi memastikan semua aspek dipertimbangkan dalam proses pindaan ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
