Pinda Akta 711 hilangkan keraguan pemberi maklumat - Rasuah Busters

Cadangan pindaan Akta 711 wajar dilaksanakan bagi memudahkan kefahaman melibatkan pemberi maklumat tanpa berlakunya sebarang percanggahan dengan akta lain. Gambar kecil: Norhayati
Cadangan pindaan Akta 711 wajar dilaksanakan bagi memudahkan kefahaman melibatkan pemberi maklumat tanpa berlakunya sebarang percanggahan dengan akta lain. Gambar kecil: Norhayati
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pindaan Akta 711 wajar dilaksanakan bagi memudahkan kefahaman melibatkan pemberi maklumat tanpa berlakunya sebarang percanggahan dengan akta lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pindaan itu juga akan menggalakkan pendedahan kelakuan tidak wajar di bawah undang-undang sedia ada.

Sebagai contoh, beliau berkata, cadangan pindaan Akta 711 penting dilaksanakan bagi membezakan sebarang percanggahan dengan peruntukan Seksyen 6 dan Seksyen 203A(1) dan (2) Kanun Keseksaan (Akta 547).

“Percanggahan undang-undang boleh menyebabkan pemberi maklumat ragu-ragu untuk membuat pendedahan.

“Pindaan Akta711 ini akan memudahkan kefahaman pemberi maklumat tanpa mengubah matlamat asal akta itu dibuat iaitu bertujuan melindungi pemberi maklumat itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, kerajaan kekal komited untuk merealisasikan cadangan pindaan Akta 711 itu dan akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Nurhayati berkata, penambahbaikan Seksyen 11 yang memperuntukkan pembatalan perlindungan sekiranya siasatan mendapati pemberi maklumat bertindak untuk kepentingan peribadi, juga penting dalam menjamin pendedahan telus dan tidak menimbulkan fitnah.

Bagaimanapun, menurut beliau, setiap maklumat yang diberikan tetap relevan dengan pertimbangan terhadap situasi kes dikemukakan.

“Penting untuk setiap satu maklumat diterima atau datang dengan suci hati supaya ia tidak mendatangkan fitnah atau bersifat kepentingan peribadi.

Artikel Berkaitan:

“Pindaan ini secara umumnya mahu pemberi maklumat tampil yakin membuat pendedahan tanpa perlu rasa terancam keselamatannya.

“Justeru, #RasuahBusters merasakan mustahak pindaan Akta 711 ini dilaksanakan sebagai usaha mengembalikan keyakinan rakyat untuk mendedahkan sebarang bentuk korupsi,” jelasnya lagi.

Katanya, pindaan akta tersebut juga perlu dilaksanakan memandangkan ia dibuat pada 15 tahun lalu iaitu 2010 bagi menampung pelbagai evolusi jenayah yang berlaku masa kini.

“#RasuahBusters bersama rakan gabungan yang lain mengangkat kepentingan akta ini dipinda atas beberapa isu yang kami rasa penting dalam memerangi kes rasuah dan salah laku.

“Ini kerana kita tahu, jenayah sebegini boleh membawa kepada kemudaratan negara dari sudut keselamatan, sosial dan ekonomi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!