Ibu buang bayi di perhentian bas direman empat hari

GEORGE TOWN - Seorang wanita direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes buang bayi lelaki di perhentian bas Jalan Perak, Pulau Tikus di sini pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisoner Abdul Rozak Muhammad berkata, wanita berusia 20 tahun itu direman bermula Isnin hingga 20 Februari ini.
Menurutnya, suspek dan bayinya kini dalam rawatan dan pemantauan di Hospital Pulau Pinang.
"Suspek dan bayinya berada dalam keadaan stabil.
"Kedua-duanya diberi rawatan selain dalam pemantauan doktor," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di dalam sebuah beg kertas dan ditinggalkan di perhentian bas di Pulau Tikus.
Polis menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan bayi tersebut kira-kira jam 10.14 pagi.
Bayi lelaki itu dipercayai baru dilahirkan telah ditinggalkan oleh suspek disyaki ibu bayi pada jam lebih kurang jam 8.03 pagi di tempat kejadian.
Hasil tindakan pantas polis, suspek seorang perempuan warga tempatan berumur 20 tahun dipercayai ibu kepada bayi tersebut telah berjaya ditangkap di sebuah hospital swasta kira-kira jam 2.20 petang Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

