Perjanjian domestik, antarabangsa Petronas di Sarawak kekal – PM

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan mengekalkan semua perjanjian domestik dan antarabangsa sedia ada di Sarawak walaupun selepas Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mengambil alih kawalan pengagihan gas di negeri itu sebagai agregator berkuat kuasa 1 Mac.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ‘kemunculan’ Petros itu masih mengesahkan kelulusan aktiviti petroleum sebelumnya kepada Petronas dan anak-anak syarikatnya.

“Menyambut aspirasi negeri Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di Sarawak dan hasrat dijelmakan melalui Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) dan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

“DGO dibaca sekali dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144], maka Petros berperanan sebagai agregator di Sarawak. Peranan tersebut tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petronas dan anak-anak syarikat,” katanya ketika sesi penerangan beliau mengenai aktiviti petroleum di Sarawak (Petronas-Petros) di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyatakan sama ada Petronas perlu mendapatkan lesen atau tertakluk kepada sebarang prosedur tambahan untuk menjalankan operasi petroleum di Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada awal bulan ini dilaporkan berkata, Petronas dan anak syarikatnya tidak memerlukan lesen beroperasi di Sarawak.

Katanya, syarikat itu tidak perlu mematuhi prosedur tambahan menjalankan operasinya melebihi apa ditetapkan dalam Akta Pembangunan Petroleum di mana persetujuan terbabit dicapai antara Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Anwar dalam pertemuan pada Januari.

Pun begitu, Abang Johari menyifatkan kenyataan Azalina tersebut kurang tepat berkait hak Sarawak menguruskan rizab minyak dan gasnya serta mahu terus berunding dengan Perdana Mneteri.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, pengesahan kelulusan sebelumnya kepada Petronas dan anak-anak syarikatnya diperakui kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak hasil mereka menekuni semangat persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 membabitkan aktiviti Petroleum di negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menerusi perakuan sama juga, beliau memberitahu, Petronas di bawah DGO dijamin memperoleh gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.

“Petros juga berwewenang (diberi kuasa) meluaskan kegiatan yang baharu dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas.

“Petronas dan Petros akan bergerak sederap sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan negeri Sarawak,” ujar beliau.

Kata Anwar, segala rundingan terperinci berikutnya akan mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!