Anak hidap kanser: Ibu bapa perlu cari sokongan, bantuan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa yang mempunyai anak didiagnosis dengan kanser dinasihatkan untuk mencari sokongan daripada orang terdekat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhusus dalam isu kanser kanak-kanak untuk berkongsi perasaan dan meminta bantuan jika perlu.

Pengasas Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak CAKNE, Mohd Shah Awaluddin berkata, ini kerana selain pesakit kanser itu sendiri, ibu bapa adalah individu paling rapat yang turut sama terkesan dan berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Menurutnya, cabaran utama adalah dari segi emosi kerana mana-mana ibu bapa pasti tidak bersedia mendengar anak mereka menderita penyakit yang boleh mengancam nyawa.

“Tidak payah sebut pasal tahap, cakap sahaja kanser pun sudah menakutkan mereka. Cabaran kedua apabila rawatan intensif bermula, ketika ini kanak-kanak terpaksa duduk di hospital berbulan-bulan dan salah seorang daripada ibu bapa perlu berada bersama.

“Bila terpaksa duduk dengan anak dalam tempoh berterusan akan timbul masalah kewangan. Salah seorang mesti berhenti kerja, jika sebelum ini pendapatan cukup sekarang tidak cukup apatah lagi perlu menanggung kos rawatan yang tinggi.

“Di sinilah peranan NGO atau orang terdekat untuk menyokong ibu bapa agar jangan putus harapan tetapi lengkapkan diri dengan maklumat tentang penyakit tersebut dan ketahui rawatan serta penjagaan yang perlu dilakukan,” jelasnya.

Ditanya sama ada kerajaan memberikan dana mencukupi untuk penyelidikan perubatan bagi kanser kanak-kanak, beliau memberitahu, secara jujurnya masih belum mencukupi.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak Malaysia (CCM) berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat pertama bersama Unit Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak pada 10 Februari lalu.

“Kami bincang pelbagai isu besar yang perlu ditangani dan alhamdulillah KKM sangat terbuka dan mengalu-alukan saranan daripada kami,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, secara purata setiap tahun CAKNE kini menyantuni lebih 80 hingga 90 pesakit kanser yang mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM, Cheras.

“Sejak CAKNE ditubuhkan pada tahun 2008, lebih 700 kanak-kanak yang menghidap pelbagai jenis kanser disantuni.

“Dulu ada dalam 50 hingga 60 pesakit baharu setahun namun sekarang semakin meningkat,” ujarnya.

Jelas Mohd Shah, cabaran pesakit kanser kanak-kanak secara umumnya lebih mencabar kerana sebahagian daripada mereka akan menjadi orang kurang upaya (OKU).

“Atas kesedaran inilah CAKNE sedang memulakan inisiatif membantu pemandiri (survivor) yang menjadi OKU untuk berdikari.

“Individu dan organisasi yang ingin bekerjasama dalam menyokong pesakit kanser kanak-kanak dijemput untuk berhubung dengan saya di emel shah@cakne.org.my,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!