Hariz tidak boleh lihat lagi

SHAH ALAM - Tiada apa yang paling menyedihkan selain melihat anak yang disayangi menahan sakit, lebih-lebih lagi ketika usia masih kecil.
Itu kenyataan pahit yang harus ditempuhi pasangan Mohd Herman Rusli, 38, dan Norshahida Md Nayan, 38, apabila anak lelaki berusia dua tahun disahkan menghidap kanser saraf atau neuroblastoma tahap empat pada 5 Ogos tahun lalu.
Mohd Herman yang berkerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) berkata, kanser menyebabkan Muhammad Hariz Iman hilang penglihatan secara kekal.

“Dahulu dia bermain macam kanak-kanak normal lain, boleh nampak dan pegang mainan. Tetapi sekarang saya tak mampu tengok dia bermain walaupun hanya pandang dari jauh. Sampai sekarang saya masih menitiskan air mata mengenangkan nasib dia.
“Saya tak boleh tenung mata dia lama-lama walaupun ketika dia celik atau tidur,” katanya kepada Sinar Ahad.
Mohd Herman berkata, dia berharapkan keajaiban agar kedua-dua mata anaknya itu sembuh seperti sediakala.
“Kanser berada di dalam mata, kami tak nampak. Tapi kehilangan penglihatan ini, kami nampak. Pada awalnya, anak saya tak mahu berjalan dan nak berdiri pun takut, tetapi selepas tujuh bulan ini, nampak ada peningkatan,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selain rawatan kemoterapi, anaknya juga sudah selesai menjalani pembedahan membuang ibu kanser di kelenjar adrenal iaitu di atas buah pinggang kanan.
Mohd Herman berkata, dia juga hiba melihatkan muka anak keempatnya itu seperti terbakar berikutan kesan selepas menerima rawatan kemoterapi.

Ditanya mengenai simptom awal yang dikesan, Mohd Herman berkata, dia bersama isterinya mendapati terdapat satu garisan biru dan bengkak kecil pada batang hidung, antara kedua-dua belah mata anaknya itu.
“Dia muntah selepas minum susu. Ada satu ketika dia tengok telefon dan rapatkan mata seperti tidak nampak tetapi kami tidak sedar kerana sangka ia perkara biasa untuk kanak-kanak. Kami bawa ke klinik tetapi doktor hanya bekalkan dengan ubat kerana syak dia jatuh.

“Dua minggu kemudian, kami tengok bengkak pada hidungnya makin besar dan kebetulan dia minta nak makan kek. Sebelum ini dia makan sendiri tetapi pada hari itu, dia seolah-olah sedang mencari dan meraba-raba kek di hadapannya.
“Ketika itu, kami mula sedar yang dia sudah hilang penglihatan dan bawanya ke salah satu hospital di Putrajaya sebelum ditahan wad. Pada 5 Ogos, dia disahkan menghidap kanser,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!