Kerap kembung perut, rupanya kanser usus

Mohamad Mustaza disahkan menghidap kanser usus tahap dua sejak November lalu. Foto Sinar Harian
Mohamad Mustaza disahkan menghidap kanser usus tahap dua sejak November lalu. Foto Sinar Harian
A
A
A

TEMERLOH - Seorang lelaki di Taman Sri Kemuning di sini tidak menyangka bermula daripada kembung perut sejak lebih setahun lalu menjadi petanda dia menghidap kanser usus tahap dua.

Mohamad Mustaza Abdul Rahman, 35, sudah menjalani pembedahan pada Disember lepas dan kini perlu menggunakan beg stoma selepas disahkan menghidap penyakit tersebut pada November lalu.

Menurutnya, simptom awal dia mengalami sakit dan kembung perut seakan gastrik selain mengalami penurunan berat badan yang mendadak.

"Sejak disahkan pesakit itu, saya seperti merasa dunia sudah gelap, macam tiada harapan tapi bila mengenangkan isteri dan anak-anak, saya cuba kuatkan diri untuk mengharungi ujian ini.

"Cuma saya rasa bimbang kerana memikirkan tidak dapat bekerja dan buat kerja berat, dulu sebagai merchandiser (pembekal) dan punca pendapatan pun sudah tiada," kata bapa kepada tiga anak berusia 8,14 dan 16 tahun itu.

Ujarnya, persediaan tiga anaknya untuk menghadapi persekolahan pada Isnin juga terjejas kerana wang simpanan sudah habis dan sumbangan yang diterima sebelum ini banyak digunakan untuk rawatan dan perbelanjaan harian.

Mohamad Mustaza menunjukkan bil air dan elektrik yang telah tertinggal beberapa bulan. Foto Sinar Harian
Mohamad Mustaza menunjukkan bil air dan elektrik yang telah tertinggal beberapa bulan. Foto Sinar Harian

Katanya, situasi itu menyebabkan bil elektrik dan air rumahnya sudah tertunggak beberapa bulan.

Artikel Berkaitan:

"Memang ada rasa tertekan dengan situasi ini dan saya bersyukur kerana adik-beradik ada membantu tapi saya tidak boleh bergantung selamanya terhadap mereka.

"Malah anak sulung, Mohd Zafril Zamir,16 memahami kesukaran saya dan bekerja separuh masa di gerai buah sepanjang cuti sekolah ini," ujarnya yang juga anak yatim.

Jelas anak bongsu daripada enam beradik itu, setakat ini dia sudah menjalani dua pusingan kemoterapi dan masih berbaki enam lagi pusingan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

"Memang saya berharap cepat sembuh dan untuk sementara waktu sedang mempelajari pembuatan corndog secara sejuk beku untuk berdikari mencari rezeki," tambahnya.

Mohamad Mustaza juga memberitahu, dia telah membuat permohonan bantuan antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Jelasnya, setakat ini dia ada menerima sumbangan zakat one-off dan dimaklumkan akan menerima bantuan untuk beberapa bulan selain sedang menunggu surat daripada pihak pakar perubatan untuk melengkapkan permohonan kepada PERKESO.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun CIMB (06150077139520) atas nama Mohd Mustaza atau menghubunginya di talian 01125278315.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!